7 ditahan paksa lelaki telan objek seperti peluru
Pemandu lori ayam itu turut dipukul, diikat dengan tali, didera kerana didakwa mencuri stok barang.
Ketua Polis Daerah Kluang, ACP Mohamad Laham berkata, penahanan suspek berusia 23 hingga 43 tahun itu turut membabitkan seorang majikan mangsa.
Mereka ditahan di 4 lokasi berbeza, iaitu di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi, serta Taman Sri Tengah, sebuah inap desa dan restoran di Jalan Bulan serta Jalan Sekolah dekat Kluang.
Mohamad berkata, dalam kejadian 11 malam itu, lelaki berusia 22 tahun itu turut dipukul, diikat dengan tali, didera dengan senjata laser di bahagian kaki, tangan, badan serta kepala.
“Mangsa diperlakukan sedemikian kerana dituduh mencuri stok barang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad berkata, maklumat mengenai kejadian itu diterima daripada seorang pegawai perubatan hospital swasta yang merawat dan mengeluarkan butir objek berkenaan daripada mangsa, pagi semalam.
Katanya, berdasarkan semakan, didapati 2 daripada suspek itu mempunyai rekod jenayah dikehendaki bersabit 1 kes di daerah Batu Pahat dan seorang lagi suspek pernah ditahan di bawah Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK).
Saringan pemeriksaan air kencing turut mendapati semua suspek positif dadah jenis methamphetamine, katanya.
“Polis turut merampas beberapa barangan daripada suspek iaitu sebuah kereta jenis Toyota Hilux, 4 unit telefon bimbit, 2 beg sandang, sebungkus plastik putih mengandungi sejumlah pil ecstasy, 8 butir objek menyerupai peluru dan satu pemetik api menyerupai pistol,” katanya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Semua suspek direman mulai hari ini hingga 22 Februari ini untuk siasatan lanjut.