Kerajaan Johor sokong RUU 355, kata exco
Mutalip berkata, kerajaan tidak akan bertindak zalim sehingga mengabaikan kepentingan masyarakat bukan Islam dalam mengambil kira kesan pelaksanaan RUU 355 di dalam negara kelak.
Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Abd Mutalip Abd Rahim berkata, pindaan itu tidak akan mempengaruhi masyarakat bukan Islam dan mereka tidak perlu takut berhubung pelaksanaan akta terbabit.
“Perkara ini tidak menyentuh hak orang bukan Islam, jadi kenapa hendak takut? Kita hendak jaga maslahat umat Islam, kita hendak jaga agama Allah kerana kalau kita jaga Allah, Allah akan jaga kita dan RUU 355 itu langsung tidak ada kaitan dengan hukum hudud.
“Ia lebih kepada peraturan yang ditetapkan kerajaan negeri bersandarkan peruntukan undang-undang sedia ada. Jadi, yang sedia ada ini yang kami hendak tambah baik,” katanya selepas merasmikan Karnival
Teknologi Pengurusan Patuh Syariah di Politeknik Metro Johor Bahru, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas Himpunan RUU 355 yang diadakan di ibu negara, semalam, dengan tujuan memberi penerangan kepada umat Islam mengenai cadangan pindaan terhadap akta berkenaan.
Pada 24 November lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membawa usul RUU bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 di Dewan Rakyat untuk memperkasakan Mahkamah Syariah dalam melaksanakan hukuman jenayah.
Mutalip berkata, pindaan berkenaan perlu dilaksanakan berikutan peningkatan kes jenayah yang semakin membimbangkan dalam kalangan umat Islam.
“Kalau kita lihat, undang-undang enakmen jenayah syariah sedia ada tidak langsung membawa keinsafan kepada pelaku jenayah, sebab itu judi berleluasa, minum arak, maksiat dan sebagainya kian menjadi-jadi dalam kalangan orang Islam.
“Islam itu agama Allah dan untuk menjaga kesucian agama Allah, perkara ini (pindaan) perlu dilaksanakan bagi menghalang perkara tidak sihat ini daripada terus berlaku,” katanya.
Menurutnya, kerajaan tidak akan bertindak zalim sehingga mengabaikan kepentingan masyarakat bukan Islam dalam mengambil kira kesan pelaksanaan RUU 355 di dalam negara kelak.
Hak asasi manusia bukan alasan sekat RUU 355, kata penceramah
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram