Saya nampak badan kawan terbelah 2, kata remaja basikal
Ibu remaja berbasikal yang cedera itu berkata, 3 hari lalu beliau bermimpi buruk dan tidak sedap hati kerana bimbang perkara buruk akan menimpa anaknya.
“Terkejut dan masa kena langgar itu masih sedar dan rasa pening apabila melihat semua orang sudah terbaring.
“Apa yang lebih mengejutkan, saya nampak ada badan rakan saya terbelah 2,” kata Abdul Samad Abdul Kadir, 16, yang masih dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) kepada FMT hari ini.
Beliau yang masih dalam keadaaan bingung dan takut, tidak berani menunggang basikal lagi kerana tidak menyangka penyertaan kali pertama dalam kumpulan remaja berbasikal lewat malam ke kawasan lebih jauh akan menjadi pengajaran dan pengalaman berharga buat dirinya.
Sebelum ini, beliau hanya berbasikal di sekitar kawasan rumahnya, sebelum menyertai kumpulan itu berkayuh ke Jalan Lingkaran Dalam yang jaraknya kira-kira 15km dari rumahnya.
Anak bongsu daripada 7 beradik yang tinggal di Kampung Melayu Pandan itu mendakwa kereta yang melanggar mereka dipandu laju.
“Saya rasa agak laju ketika kereta itu langgar. Bila sedar, ada kawan sebelah terbaring dan sudah meninggal.
“Saya rasa menyesal, tetapi ketika ingin keluar berbasikal, saya sempat meminta izin ibu saya pada jam 10 malam,” katanya yang patah kaki kiri dengan badannya masih rasa sakit dan sejuk.
Dua rakannya, Mohamed Shamizal Iqmal Abdullah, 16, dan Muhd Nazri Mahmudi, 13, masih dirawat di Unit Rawatan Rapi HSA.
Lima remaja lain yang cedera ialah Muhammad Fitri Muhammad Fatoni, 17, cedera di pinggul dan luka di badan; Muhamad Farhan Che Mat, 16, (patah kaki kanan); Muhammad Arif Salman, 15, (cedera teruk di kepala) serta Muhammad Zulfadli Yusri, 19, dan Muhammad Arasshat Abdullah, 14, kedua-duanya patah kaki kanan.
Ibu Samad yang berusia 54 tahun, Normah Salleh berkata, 3 hari sebelum kemalangan, beliau bermimpi buruk mengenai anaknya.
“Tiga hari sebelum anak saya kemalangan, saya mimpi buruk dan tidak sedap hati. Masa kejadian, jam 4 pagi saya sudah risau dan terlintas di hati saya, mesti anak saya salah seorang remaja yang terlibat dalam kemalangan itu,” katanya yang bergenang air mata kepada FMT.
Normah berkata, beliau sudah banyak kali menasihatkan anaknya tidak keluar lewat malam, tetapi Samad degil dan tetap keluar bersama rakannya untuk berbasikal sehingga lewat malam.
“Masa nak keluar beritahu ayahnya dulu dan baru saya. Masa dia nak keluar (berbasikal), saya sudah kata bahaya, takut kereta langgar, tetapi dia tetap keluar,” katanya yang kesal dengan kedegilan anaknya.
Beliau menasihatkan ibu bapa menjadikan kemalangan itu sebagai pengajaran dan memantau pergerakan anak untuk mengelakkan tragedi sama berulang.
“Jadikan pengajaran kepada kita dan di luar sana, jagalah anak anda sebaik mungkin. Jangan bagi anak berlumba walaupun hobi mereka main basikal.
Pada 3 pagi semalam, 8 remaja berbasikal maut yang dirempuh sebuah kereta di Jalan Lingkaran Dalam, manakala 8 lagi cedera dalam nahas itu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Sulaiman Salleh dilaporkan berkata, sekumpulan 20 hingga 30 remaja berbasikal dipercayai menghalang Jalan Lingkaran Dalam dan sekitarnya sebelum dirempuh kereta dipandu seorang wanita berusia 22 tahun dari arah Taman Pelangi yang dipercayai tidak sempat mengelak kumpulan remaja itu.
Fitri keluar selepas kami tidur, kata bapa ‘budak basikal’
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram