Duta Malaysia pertahan siasatan kes Jong Nam
Mohamad Nizan Mohamad bekata, Malaysia akan bertindak adil dan objektif kepada semua pihak.
Bercakap di Beijing hari ini ketika dalam perjalanan pulang ke Malaysia, Nizan dipetik Associated Press (AP) sebagai berkata, siasatan sedang dijalankan secara adil.
Katanya, Malaysia tidak mempunyai sebab untuk berpihak kepada sesiapa dalam kes itu dan akan bertindak “sangat objektif dan adil kepada semua orang”.
Semalam, Putrajaya memanggil Nizan pulang ke Kuala Lumpur “untuk rundingan”, beberapa jam sebelum tuduhan dilemparkan duta Korea Utara terhadap siasatan Malaysia berhubung kematian Jong Nam.
Kang Chol yang dipanggil ke Wisma Putra untuk menjelaskan dakwaan kononnya Malaysia “menyembunyikan sesuatu” dalam kes Jong Nam berkata, Pyongyang tidak percaya siasatan Malaysia kerana ia “bermotifkan politik”.
Kang berkata, jika Jong Nam dibunuh seperti dakwaan pelbagai pihak, Malaysia perlu bertanggungjawab sepenuhnya. Beliau turut mengkritik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membuat dakwaan palsu berhubung identiti Jong Nam dan menuduh Malaysia bersekongkol dengan kerajaan luar.
Katanya, permintaan Malaysia untuk menjalankan bedah siasat ke-2 yang disifatkannya “cubaan merosakkan mayatnya (Jong Nam)” melanggar hak asasi manusia dan menunjukkan “betapa terdesaknya mereka untuk menyalahkan kami”.
Pertikaian dengan Korea Utara bermula apabila Malaysia menjalankan bedah siasat ke atas mayat Jong Nam, sekalipun ditentang Pyongyang dan enggan menyerahkan mayatnya sehingga waris tampil memberikan sampel DNA mereka.
Abang sebapa kepada diktator Korea Utara, Kim Jong Un, itu dilaporkan dibunuh 2 wanita ketika menunggu penerbangan pulang ke Macau di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, pada 13 Februari lalu.
Malaysia tiada sebab burukkan Korea Utara, kata Najib
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram