Petani Malaysia bimbang perjanjian antarabangsa untungkan syarikat besar
Mereka bimbang petani di negara membangun seperti Malaysia akan dikawal oleh syarikat besar dari negara maju.
PETALING JAYA: Sebuah perjanjian antarabangsa yang mahu menetapkan beberapa peraturan pertanian melibatkan isu seperti penggunaan benih di kalangan negara anggotanya bakal menjejaskan mata pencarian petani di Malaysia.
Jawatankuasa Bertindak Petani Mada, yang menghimpunkan petani di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), menggesa kerajaan berterusan tidak menyertai Konvensyen Antarabangsa bagi Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 1991 (UPOV 1991).
Pengerusinya, Che Ani Mat Zain berkata, jika Malaysia menyertai UPOV 1991 kepentingan petani kecil tempatan akan terjejas, di samping ia turut mengawal petani daripada menyimpan benih sendiri.
“Dengan menyertai UPOV 1991, kami gusar bahawa undang-undang tempatan perlu diubah secara drastik dan akan menghapuskan hak-hak petani tradisional dan kecil.
“Manakala memberikan hak-hak kepada penternak komersial dan syarikat besar dan meminggiri kepentingan kami.”
Menurutnya, UPOV 1991 akan melemahkan keupayaan petani tempatan dan komuniti Orang Asli, dan ini seterusnya memberi kesan terhadap bekalan makanan untuk negara.
UPOV 1991 akan mewujudkan sistem harta intelektual hak pembiak baka tumbuhan (Plant Breeder Rights).
Bagaimanapun, ia dikhuatiri hanya berpihak kepada pembiak baka dan penyelidik insititusi korporat negara maju, dan memberi kesan buruk terhadap kepentingan petani kecil dan penyelidikan tempatan di negara membangun seperti Malaysia.
Che Ani sewaktu dihubungi FMT berkata beliau bimbang sekiranya Malaysia menyertai UPOV 1991, petani kecil terpaksa membayar harga tinggi untuk benih ciptaan anak tempatan sendiri.
“Kita tidak mahu pihak seperti Amerika Syarikat menguasai benih yang sebahagiannya dicipta orang Malaysia, contohnya benih padi, benih pokok kelapa sawit dan lembu kacukan.
“Bila kita ikut perjanjian, mereka akan mengakui itu adalah hak dan ciptaan mereka sendiri. Kemudian, apabila kita hendak beli, kita perlu melalui ejen-ejen besar,” katanya.
Malaysia sebelum ini memutuskan tidak menyertai UPOV 1991 dan bagi menjamin hak petani, Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 (Akta PNPV) ditubuhkan.
Penubuhan Akta PNPV ini dilihat selaras dengan Perjanjian Harta Intelektual Pertubuhan Perdagangan Antarabangsa (WTO).
Jelas Che Ani, UPOV 1991 menyebabkan Malaysia bergantung lebih banyak kepada syarikat benih asing dan syarikat besar dalam bidang pertanian.
Sekretariat UPOV 1991 dijangka akan mengadakan mesyuarat kali kedua untuk tahun 2017 pada 3 April depan di Geneva, Switzerland.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Sehingga kini, 74 negara terlibat dalam UPOV 1991. Setakat ini, hanya Vietnam dan Singapura sahaja dari kalangan negara Asia Tenggara yang terbabit dalam perjanjian ini.