Usah pertikai kemampuan pasukan forensik, kata menteri
Pasukan forensik negara berkepakaran tinggi dan berpengalaman luas, malah pernah memberi kerjasama menyelesaikan pelbagai kes di dalam dan luar negara.
Beliau menegaskan Malaysia mempunyai pasukan forensik berkepakaran tinggi dan berpengalaman luas dalam bidang tersebut, malah pernah memberi kerjasama menyelesaikan pelbagai kes di dalam dan luar negara.
“Kita mempunyai pasukan berpengalaman. Pasukan kita (pernah) berada di Belanda dengan pasukan forensik antarabangsa untuk kes MH17, juga di Indonesia selepas tragedi pesawat Air Asia 8501 untuk membantu mereka…kami tahu apa yang perlu dilakukan dan apakah prosesnya.
“Tiada persoalan mengenai kapasiti pasukan kita untuk mengenal pasti perkara sebenar. Semalam, saya bersama mereka (pasukan forensik), mereka menjelaskan kepada saya, sudah tentu kita perlu mendapatkan profil DNA (Jong Nam), kita juga mendapat cap ibu jari, sudah melakukan struktur gigi dan perkara tertentu pada mayat berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian upacara pecah tanah Pusat Gamma Knife di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), di sini hari ini.
Dr Subramaniam berkata dengan adanya semua bahan bukti penting, proses pengecaman mayat akan menjadi lebih mudah.
“Jika anak lelakinya datang (anak kandung), DNA beliau akan membantu kita dalam proses pengecaman, tetapi jika tiada, kita akan menggunakan elemen lain yang kita ada untuk mengesahkan identiti…proses itu sedang berjalan,” katanya.
Abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong Un itu meninggal dunia pada 13 Feb lepas ketika dalam perjalanan ke hospital.
Jong Nam sebelum itu dilaporkan berada di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) sementara menunggu penerbangannya ke Macau apabila diserang 2 wanita dengan mukanya ditekup dengan kain dipercayai mengandungi cecair beracun.
Kes bunuh Jong Nam: Biar polis, unit forensik jalankan tugas
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram