PKR, ibu bapa bantah projek hotel berhampiran 2 sekolah
Pembinaan hotel itu diadakan di atas tanah TNB yang sepatutnya digunakan untuk rumah kakitangan dan tidak sesuai untuk bangunan tinggi.
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dan beberapa wakil ibu bapa hari ini membantah projek pembangunan hotel berhampiran 2 sekolah.
Nurul Izzah berkata, beliau mempersoalkan pembangunan tersebut kerana projek yang diluluskan di atas tanah Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu sepatutnya bagi membina kuarters kakitangan tetapi sebaliknya berlaku.
“Kenapa cadangan dibangkitkan adalah untuk membina 350 unit hotel di tingkat 9 hingga 12 sementara tanah ini seperti dapat dilihat dalam catatan persendirian digunakan untuk membina rumah kakitangan TNB.
“Saya mahu pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menjadi badan pemantau, jangan mudah memberikan kelulusan membina bangunan berskala tinggi bagi tujuan keuntungan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Izzah, pembangunan yang baru dimulakan awal tahun ini juga turut memberikan kesan negatif kepada persekitaran di sekitar projek berkenaan.
Beliau berkata, ia memberi kesan kepada 2 sekolah, Sekolah Antarabangsa Sri Dasmesh dan Sekolah Kebangsaan (SK) Bangsar yang mempunyai kira-kira 2,500 murid.
“Ada 2 buah sekolah di sini dan kita dimaklumkan pihak pemaju yang perbincangan diadakan dengan pihak Persatuan Ibu Bapa SK Bangsar.
“Tapi kita mahu lebih banyak lagi pihak berkepentingan bukan sahaja SK Bangsar tetapi semua ibu ayah dimaklumkan termasuk Sekolah Antarabangsa Sri Dasmesh dan saya sebagai wakil rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, seorang daripada ibu pelajar Sekolah Antarabangsa Sri Dasmesh, Nanthini, 44, melahirkan kebimbangan dengan projek itu kerana ia boleh mendatangkan bahaya kepada murid di 2 sekolah berdekatan.
“Habuk dan batu-bata boleh jatuh dari bangunan dan ia berdekatan dengan sekolah. Selain itu, murid-murid ini juga berjalan di sini. Itu kebimbangan kita.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Selain itu, pembelajaran mereka tak kondusif kerana bunyi bising daripada projek,” katanya.