Polis tubuh pasukan khas siasat penculikan pastor
Ketua polis negara menyeru saksi tampil membantu siasatan.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis sudah merakam keterangan 8 orang yang dipercayai boleh membantu siasatan.
“Kita masih menyiasat kes itu. Kita masih belum ada petunjuk lagi, tapi kami yakin akan dapat.
“Kami seru mana-mana saksi yang dapat membantu kita ke hadapan. Jangan kata kita tidak buat apa-apa,” katanya pada sidang media di Bukit Aman.
Awal bulan ini, Pastor Raymond Koh Keng Joo dilaporkan diculik sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan SS4B/10, Petaling Jaya, kurang dari 100 meter dari kompleks perumahan polis.
Beliau memandu kereta Honda Accord berwarna perak bernombor plet ST 5515 D.
Keng Joo terpait kontroversi pada 2011 apabila badan bukan kerajaannya, Harapan Komuniti, dituduh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) cuba berdakwah kepada orang Islam, susulan serbuan ke atas suatu acara makan malam kesyukuran di Gereja Methodist Damansara Utama.
Keluarga Keng Joo menawarkan ganjaran RM100,000 untuk maklumat yang membawa kepada di mana dia berada.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Laporan sebelum ini mengatakan polis menyiasat kes itu di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik.