PSM kecewa ‘janji kosong’ bentang RUU bela pekerja di Parlimen
Kementerian Sumber Manusia mungkir janji 2 kali untuk membentangkan RUU bagi membolehkan Skim Insurans Pekerja diwujudkan.
KUALA LUMPUR: Parti Sosialis Malaysia (PSM) melahirkan kekecewaan susulan kegagalan kerajaan membentangkan rang undang-undang (RUU) membolehkan Skim Insurans Pekerja (SIP) diwujudkan pada sidang Parlimen, Mac ini.
Setiausahanya, Sivarajan Arumugam berkata kekecewaan itu disuarakan selepas mendapat penjelasan daripada pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang ia baru di peringkat dasar sekali gus mendakwa kenyataan timbalan Kementerian Sumber Manusia, hanya “janji kosong”.
“Awalnya PSM mengalukan cadangan kerajaan mengemukakan SIP kepada pekerja yang hilang kerja akibat penutupan syarikat secara tiba-tiba pada 2009, malah pada tahun yang sama juga kerajaan memperuntukan RM80 juta untuk Tabung Bantuan Kehilangan Pekerja (TBKP).
“Pada akhir 2014, Kementerian Sumber Manusia berkata akan membawa cadangan ini di sesi Parlimen pada Mac 2015 tetapi tidak dibawa dan janji sama dibuat tahun lepas untuk dibentangkan pada sesi Parlimen Mac 2017. Bagaimanapun, kami dimaklumkan oleh pihak Perkeso, ia baru dalam proses peringkat dasar dan tidak akan dibentang sesi tahun ini,” katanya kepada media di Menara Perkeso hari ini.
Katanya, hasil perbincangan bersama Timbalan Ketua Eksekutif Perkeso Rosdi Mat Yasin, mereka dalam proses merangka rang undang-undang dan akan diserahkan kepada Kabinet.
“Selepas dibawa ke Kabinet, ia akan diserahkan kepada peguam negara untuk hal perundangan dan selepas itu baru dibawa ke Parlimen,” katanya.
Mengulas lanjut, Sivarajan mendesak kementerian mengagihkan wang RM80 juta itu kepada pekerja yang hilang pekerjaan memandangkan undang-undang meluluskan SIP masih kabur.
“Kami ingin membuat 2 tuntutan di sini supaya RM80 juta menerusi TBKP diagihkan kepada pekerja yang hilang kerja dan mencadangkan pekerja yang dibuang kerja tidak disenaraikan hitam pihak bank sehingga mereka mendapat kerja baharu untuk menyelesaikan hutang dan membuat pinjaman,” katanya.
Katanya sehingga penghujung 2016, lebih 30,000 hilang pekerjaan disebabkan pelbagai masalah temasuk syarikat gulung tikar.
PSM desak kerajaan bantu tubuh tabung pemberhentian kerja
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram