Skim pembiayaan baru PR1MA tak selesai masalah rakyat, kata Amanah
Ia perlu melihat realiti ekonomi rakyat dan bukan menawarkan skim yang akan memberi kesan buruk dalam jangka masa panjang, kata exco Pemuda Amanah.
KUALA LUMPUR: Amanah mempersoalkan keberkesanan Skim Pembiayaan Fleksibel (SPEF) yang diperkenalkan Perbadanan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).
Menurut Exco Pemuda Amanah, Mohamad Ammar Atan, ia tidak membantu golongan rakyat berpendapatan rendah atau B40 membeli rumah menerusi skim berkenaan.
Katanya, skim itu tidak akan menyelesaikan isu asas yang sedang dihadapi rakyat.
“Saban tahun PR1MA melebarkan kadar pendapatan pemohon rumah PR1MA sejak 2012 dan kini sehingga RM15,000.
“Pada kadar pendapatan ini, jelas PR1MA bukan lagi hanya untuk rakyat berpendapatan pertengahan dan ke bawah, malah mereka berpendapatan tinggi atau T20 masih ramai tidak memiliki rumah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Amanah, Jalan Ipoh.
Beliau berkata demikian susulan tindakan Pemuda Umno yang membidas dakwaan Amanah yang skim itu akan membebankan pembeli rumah serta mewujudkan “masyarakat penghutang”.
Jumaat lalu, Pengerusi Biro Hal Ehwal Bandar dan Perumahan Pemuda Umno, Nazir Hussin Akhtar Hussin mempertahankan skim berkenaan dan mendakwa tindakan Ammar itu secara halus cuba memberi tanggapan tidak baik kepada pembeli yang ingin membeli rumah melalui skim itu.
Nazir berkata, semua pihak perlu melihat inisiatif berkenaan dengan perspektif lebih luas apabila wujud kekangan yang perlu dihadapi sebahagian besar golongan muda untuk mendapat pinjaman perumahan.
Bagaimanapun, hari ini Ammar yang juga pengerusi Jawatankuasa Perumahan Amanah menyangkal kenyataan Nazir dan berkata kenyataan Pemuda Umno itu dangkal serta tidak mempunyai asas terhadap realiti rakyat.
Beliau berkata, kenyataan Nazir jelas tidak sensitif dengan kesan jangka panjang yang akhirnya akan meletakkan rakyat di hujung tanduk.
“Berdasarkan laporan Khazanah Research Institute (KRI), satu badan yang berkaliber dalam isu dasar negara, mendapati rumah yang ada di pasaran tidak benar-benar mampu milik kerana kurang insentif serta tiada penyelidikan dan usaha membina dengan lebih efisien.
“Malah, kadar harga ditawarkan bagi rumah mampu milik adalah 4.4 kali ganda di luar kemampuan rakyat berdasarkan pendapatan median rakyat.
“Apa jua skim ditawarkan perlu melihat realiti ekonomi rakyat dan bukan menawarkan skim yang akan memberi kesan buruk kepada rakyat dalam jangka masa panjang,” katanya.
Sehubungan itu, Amanah berkata akan menganjurkan satu sidang meja bulat perumahan pada hujung Mac ini.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Kita akan menjemput pakar hartanah, perbankan, akademik dan sebagainya dalam membincangkan isu dasar perumahan rakyat,” katanya.