Kementerian: Jumlah pekerja diberhentikan lebih rendah
Tindakan pemberhentian pekerja oleh majikan berlaku akibat penutupan syarikat atau berlebihan pekerja
PETALING JAYA: Jumlah sebenar pekerja yang diberhentikan pada 2016 adalah lebih rendah berbanding 2015, dan lebih rendah berbanding yang dinyatakan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), kata kementerian hari ini.
Kementerian Sumber Manusia memaklumkan seramai 37,699 orang pekerja diberhentikan tahun lalu, lebih rendah berbanding 2015 iaitu 44,343 orang.
Kementerian menjawab kenyataan Pengarah Eksekutif MEF Datuk Shamsuddin Bardan hari ini yang mendakwa kira-kira 40,000 orang diberhentikan setakat September tahun lepas, hampir menyamai 44,000 orang pekerja yang hilang pekerjaan pada 2015.
Shamsuddin dilaporkan The Star sebagai meramalkan jumlah pekerja yang akan diberhentikan tahun ini akan tinggi sedikit.
Menurut laporan itu, MEF percaya ia akibat kelemahan ekonomi dan penggunaan teknologi dalam industri tertentu, contohnya transaksi atas talian.
Menurut kementerian, bagi tempoh antara 1 Januari 2016 hingga 31 Disember, seramai 14,848 pekerja mengambil skim pemberhentian sukarela (39.4%) dan 22,851 pekerja melalui pemberhentian biasa (60.6%).
“Lazimnya tindakan pemberhentian pekerja oleh majikan berlaku akibat penutupan syarikat atau berlebihan pekerja berikutan daripada beberapa sebab antaranya penyusunan semula syarikat, pengurangan pengeluaran, penggabungan syarikat, perubahan teknologi dan pengambilalihan syarikat,” kata kementerian, berdasarkan kepada laporan majikan kepada Jabatan Tenaga Kerja.
Menurut kementerian, pemberhentian melibatkan pekerja tempatan (32,552 orang atau 86.3%) dan pekerja asing (5,147 orang atau 13.7%) pada 2016.
“Jumlah pemberhentian pekerja bagi tahun 2016 sebenarnya adalah lebih rendah berbanding tahun 2015 iaitu seramai 44,343 orang yang mana seramai 19,891 orang (44.9%) melalui pemberhentian sukarela dan 24,452 orang (55.1%) melalui pemberhentian biasa,” lapor kenyataan itu.
Kementerian seterusnya menyenaraikan pemberhentian mengikut sektor yang menunjukkan pemberhentian tertinggi pada 2016 berlaku dalam sektor pembuatan (45.9%); diikuti perdagangan borong dan runcit (20.7%); kewangan dan insurans (12.1%); serta perlombongan dan pengkuarian (6.6%).
“Ini berbeza dengan pemberhentian bagi tahun 2015 yang didominasi oleh sektor kewangan dan insurans (39.8%); diikuti sektor pembuatan (20.8%); dan sektor pengangkutan dan penyimpanan (14.7%) berikutan isu pemberhentian pekerja oleh Malaysia Airlines.”
Mengenai kadar pengangguran pula, kementerian melaporkan kadar pengangguran yang dilaporkan pada suku keempat 2016 meningkat kepada 3.5% iaitu 510,000 orang berbanding 3.1% pada 2015 iaitu 450,300 orang.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Berdasarkan statistik yang dilaporkan oleh JTK, jumlah pemberhentian pekerja tidak dapat dikaitkan secara langsung dengan peningkatan kadar pengangguran.”