Lebih 2,000 Orang Asli Islam jadi penjawat awam
Kejayaan membanggakan Orang Asli Islam diharap menjadi contoh kepada anggota masyarakat itu.
PUTRAJAYA: Kejayaan Orang Asli Islam perlu diketengahkan dalam media bagi memberi inspirasi kepada mereka untuk menempa kecemerlangan, kata Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Paimuzi Yahya.
Beliau berkata ketika ini terdapat lebih 2,000 Orang Asli Islam yang berkhidmat sebagai penjawat awam yang antaranya berjawatan tinggi, serta tidak termasuk mereka yang berjaya dalam perniagaan dan bidang lain.
“Tentunya media dapat menceritakan kejayaan itu merupakan hasil ketekunan menuntut ilmu, berusaha bersungguh-sungguh, satu sikap yang jelas dituntut dalam agama Islam,” katanya ketika berucap pada majlis bersama 12 ikon Orang Asli Islam yang berjaya, di sini hari ini.
Majlis diskusi santai bertemakan “Aspirasi Media Kepada Orang Asli Islam” bertujuan meningkatkan reputasi kaum yang sering dikaitkan dengan kemunduran itu turut dihadiri Senator Orang Asli, Datuk Isa Ab Hamid.
Paimuzi berkata selain usaha dakwah yang dijalankan Jakim dan agensi berkaitan, penonjolan ikon daripada kalangan Orang Asli merupakan satu kaedah terbaik dalam membentuk masa depan masyarakat itu, khasnya dalam membantu pemahaman mereka mengenai Islam.
Isa dalam pada itu berkata selain penonjolan ikon Orang Asli Islam yang berjaya, akhlak merupakan satu elemen yang perlu dimiliki pendakwah kerana biasanya hanya akan menerima individu yang sedia menganggap mereka sebagai keluarga.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Jika tiada elemen ini, usaha untuk mendekati kaum itu akan menjadi sukar,” katanya.