Lepas berniaga 100 tahun, peniaga dakwa dihalau MPAJ
Pemilik kedai kopi Lum Kee berkata MPAJ sebelum ini beri notis roboh dalam masa 2 bulan, tetapi 2 hari lalu, MPAJ memaklumkan kepadanya kedai itu akan dirobohkan pada 28 Februari ini.
Pemilik kedai kopi Lum Kee, Lai Thien Sang, 73, berkata MPAJ sebelum ini menyerahkan notis roboh dalam masa 2 bulan, tetapi 2 hari lalu, MPAJ memaklumkan kepadanya kedai itu akan dirobohkan pada 28 Februari ini.
“Saya sudah tua dan tidak larat untuk mencari kerja lain. Kalau MPAJ nak robohkan kedai saya dengan memberi pampasan dan ganti rugi, tak mengapa.
“Tetapi kalau nak robohkan saja, mana boleh. Mana saya nak cari duit sara hidup saya. Saya sudah 60 tahun berniaga di sini,” katanya pada sidang media yang diadakan pimpinan BN Ampang diketuai Ketua Umno Bahagian Ampang Datuk Ismail Kijo di Pasar Pekan Ampang di sini hari ini.
Hadir sama ialah Ketua MCA Bahagian Ampang Low Kim Mang.
Lai berkata beliau hairan mengapa MPAJ hendak merobohkan kedainya dan memberikan alasan status tanah jalan raya.
“Sebelum kerajaan PKR pegang (kerajaan negeri Selangor), saya tidak pernah terima notis untuk kedai dirobohkan,” katanya.Katanya, dia tidak peduli siapa yang mentadbir kerajaan negeri sama ada PKR, DAP, BN atau PAS tetapi mestilah mempunyai perikemanusiaan dan berkhidmat untuk rakyat.
Sementara itu, Ismail berkata MPAJ perlu memberi jaminan dan pampasan sewajarnya kepada peniaga jika mahu merobohkan kedai itu.
Kim Mang yang juga setiausaha organisasi MCA Selangor mendakwa tindakan MPAJ itu mengakibatkan kerugian kepada 300 peniaga lain di Pasar Pekan Ampang itu termasuk kedai makanan dan buah-buahan.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Kita mahu jaminan dan lokasi sementara yang tetap sehingga mereka diberikan tempat berniaga baharu. Jika ada tempat sementara untuk warga emas itu berniaga, kita mahu jaminan berapa lama mereka dibenarkan berniaga di situ,” katanya.