Malaysia tidak boleh tahan diplomat Korea Utara, kata bekas duta
Bekas duta berkata diplomat hanya boleh ditahan jika negara yang menghantar membatalkan kekebalan diplomatik atau Malaysia mengisytiharkan persona non grata.
PETALING JAYA: Malaysia tidak boleh menangkap diplomat Korea Utara untuk disoal siasat mahu berhubung kes pembunuhan Kim Jong Nam kerana dia menikmati kekebalan diplomatik.
Hyon Kwang Song, setiausaha ke-2 di Kedutaan Korea Utara, hanya boleh disoal siasat atau ditahan polis Malaysia jika Pyongyang membatalkan imunitinya.
Justeru, menurut bekas Malaysia ke Kanada, Dennis Ignatius, tidak banyak yang boleh dilakukan pihak berkuasa Malaysia walaupun mereka boleh mengaitkan Hyon dengan pembunuhan Jong Nam, abang sebapa pemimpin diktator Korea Utara Kim Jong Un.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis menulis surat kepada kedutaan meminta menemubual Hyon dan kakitangan pekerja Air Koryo, Kim Uk Il, 37, yang boleh memberi penerangan tentang siasatan.
Beliau berkata jika kedutaan tidak bekerjasama, “kami akan memaksa mereka berbuat demikian dengan mengeluarkan waran tangkap terhadap kedua-duanya.”
Menurut laporan berita asing, kedua-duanya dipercayai bersembunyi di kedutaan dan mereka adalah antara 7 lelaki Korea Utara, termasuk 4 yang melarikan diri dari Malaysia pada hari pembunuhan, sedang diburu polis.
Jong Nam dipercayai dibunuh dengan racun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Feb.
Dennis, bekas duta ke beberapa negara, berkata satu-satunya cara Malaysia untuk menyoal siasat warga asing yang mempunyai imuniti diplomatik adalah untuk meyakinkan kerajaan mereka membatalkannya.
“Hanya negara menghantar (dalam kes ini Korea Utara) ada kuasa menarik balik imuniti itu dan membenarkan individu terbabit berada di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan,” katanya kepada FMT hari ini.
Pyongyang sering menggunakan kekebalan diplomatik bagi membantah siasatan Malaysia berhubung kematian Jong Nam.
Dennis memetik satu artikel di bawah Konvensyen Vienna berhubung pengendalian diplomat yang jelas menyatakan negara tuan rumah dilarang menahan atau menyoal siasat diplomat.
Artikel 29 Konvensyen Vienna menyatakan: “Hak diplomat tidak boleh dicabul. Beliau tidak boleh ditahan atau ditangkap. Negara penerima perlu melayannya dengan hormat dan mengambil tindakan sewajarnya untuk mencegah sebarang serangan terhadap individu ini, kebebasan atau maruah.”
“Ini bermakna diplomat bertauliah sewajarnya menikmati imuniti penuh dan mutlak daripada pihak berkuasa tempatan dan tidak boleh ditahan, ditangkap atau disoal siasat untuk apa juga jenayah,” kata Dennis.
Beliau berkata memandangkan jarang sekali berlaku sesebuah negara menarik balik imuniti diplomat mereka, ditambah dengan “respons berang Pyongyang terhadap siasatan Malaysia dan pembabitan ketara mereka dalam pembunuhan itu”, peluang polis Malaysia dibenarkan menyiasat Hyon agak tipis.
Sebaliknya, Dennis berkata Wisma Putra tidak lama dulu pernah membuat keputusan menarik balik imuniti Mohammed Rizalman Ismail, diplomat di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand, membenarkan pihak berkuasa di sana mendakwanya atas kesalahan serangan seksual pada 2014.
“New Zealand terpaksa membenarkannya meninggalkan negara itu. Itu pun hanya selepas Wisma Putera menarik balik imunitinya dan dia perlu kembali ke New Zealand untuk dibicarakan,” katanya.
Tetapi, Dennis berkata kebanyakan negara “lazimnya enggan menarik balik imuniti diplomat walaupun ada kesalahan jenayah dilakukan”.
“Di Kanada beberapa tahun lalu, seorang diplomat Rusia yang berada di bawah pengaruh alkohol, melanggar dan membunuh seorang warga Kanada. Walaupun Kanada hendak mendakwanya, Rusia enggan membenarkan dan diplomat itu dibenarkan keluar dari Kanada,” katanya.
Bagaimanapun, Dennis berkata Putrajaya ada 1 lagi pilihan.
“Apa yang kerajaan boleh buat dalam keadaan ini ialah mengisytiharkan individu itu sebagai persona non grata – cara untuk menyatakan seseorang itu tidak lagi diterima oleh negara tuan rumah – dan memintanya meninggalkan Malaysia dalam tempoh 24 jam,” katanya.
Polis tak beri peluang Korea Utara siasat kematian Jong Nam
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram