Peniaga pasar Pekan Ampang minta naik taraf, kata Zuraida
Ahli Parlimen Ampang juga menyelar Ketua Umno Bahagian Ampang Datuk Ismail Kijo yang hanya cuba mempolemikkan isu peniaga di pasar itu.
Sehubungan itu, katanya tidak sewajarnya timbul dakwaan mengatakan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bertindak kejam dengan menghalau peniaga di situ dan merobohkan kedai mereka.
“Tindakan MPAJ untuk merobohkan kedai atas permintaan peniaga bagi membolehkan kerja membaiki dan naik taraf dijalankan.
“Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali juga setuju memberi bajet RM2 juta untuk menaik taraf pasar itu,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan seorang peniaga warga emas yang mendakwa MPAJ bertindak kejam dengan memberi notis untuk merobohkan kedainya tanpa pampasan.
Zuraida berkata kerajaan negeri juga memberikan tempat sementara untuk peniaga di kawasan itu sementara kerja naik taraf pasar Pekan Ampang siap sepenuhnya.
“Kita sudah beri penempatan sementara di kawasan berhampiran pasar itu. Tidak ada isu pun sebenarnya dan jangan nak bohong. Semua sudah diberi tempat dan pembinaan tempat sementara mereka juga sudah siap.
“Kawasan sementara itu berdekatan dengan pasar Pekan Ampang. Saya tidak tahu peniaga mana yang membuat dakwaan sedemikian. Kalau peniaga di pasar pekan itu, mereka semua tahu perancangan kerajaan negeri,” katanya.
Sementara itu, Zuraida turut menyelar tindakan Ketua Umno Bahagian Ampang Datuk Ismail Kijo yang didakwa cuba mempolemikkan isu berkenaan.
“Dia (Ismai) tidak tahu apa jadi di Ampang. Sudah jadi pembangkang, jadi dia tidak tahu pembangunan yang nak dibuat terutama di Ampang.
“Dia jadi pembangkang tetapi buat hal yang tidak tahu perkembangan. Kalau tidak tahu tanya, apa perancangan kita nak buat di kawasan itu. Kalau nak bawa isu rakyat bawa yang relevan, dan isu ini tidak relevan,” katanya.
Ismail hari ini mengadakan sidang media bersama Ketua MCA Bahagian Ampang Low Kim Mang di Pasar Pekan Ampang bagi membantah tindakan MPAJ yang mahu merobohkan kedai milik seorang peniaga Cina warga emas.
Lepas berniaga 100 tahun, peniaga dakwa dihalau MPAJ
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram