Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Laporan waris Jong Nam ke Malaysia tidak tepat, kata ketua polis

 | February 24, 2017

Khalid berkata, polis tidak akan menghantar pasukan ke Macau untuk mendapatkan sampel DNA waris, tetapi akan menunggu waris untuk datang dan membuat pengecaman mayat serta memberi sampel DNA.

khalid

SEPANG: Polis akan menyiasat bagaimana bahan kimia Ethyl S-2 Diisopropylamino Ethyl Methylphosphonothioate atau agen saraf VX dibawa masuk ke negara ini dan digunakan dalam kes pembunuhan abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong Nam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, bahan kimia itu dilarang bawa masuk ke Malaysia kerana ia disenaraikan sebagai senjata kimia di bawah Jadual 1, Akta Konvensyen Senjata Kimia Malaysia 2005 dan Konvensyen Senjata Kimia (CWC) 1997.

“Bahan kimia itu memang diharamkan…kerana ia adalah senjata maut. Jika dibawa masuk dengan jumlah yang kecil, susah kita nak kesan,” katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Mekah untuk menunaikan ibadat umrah hari ini.

Pada 13 Februari lalu, Jong Nam yang merupakan abang sebapa pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) untuk penerbangan ke Macau apabila 2 wanita didakwa menyapu muka mangsa dengan tangan mereka yang dipercayai disembur bahan beracun.

Jong Nam yang memasuki negara ini menggunakan pasport bernama Kim Chol, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Ditanya sama ada tempat kejadian dicemari radioaktif, Khalid berkata, polis juga akan menyiasat lokasi itu.

Terdahulu, dalam kenyataan, Khalid berkata, laporan awal analisis Jabatan Kimia Malaysia mendapati bahan kimia agen saraf VX dikaitkan dalam kes pembunuhan itu.

Mengenai laporan waris Jong Nam akan datang ke Malaysia dalam waktu terdekat untuk menuntut mayat dan memberikan sampel DNA, Khalid berkata, laporan tersebut tidak tepat.

“Belum lagi ada aturan untuk waris mangsa datang ke Malaysia. Kami sudah meminta Kedutaan Korea Utara untuk memaklumkan kepada waris dan masih menunggu respons daripada mereka,” katanya.

Selain itu, katanya, polis tidak akan menghantar pasukan ke Macau untuk mendapatkan sampel DNA waris, tetapi akan menunggu waris untuk datang dan membuat pengecaman mayat serta memberi sampel DNA.

Ditanya sama ada beliau berhubung dengan Kedutaan China mengenai waris Jong Nam, beliau menjawab: “Tidak”.

Ditanya sama ada pembunuhan Jong Nam merupakan komplot jahat Korea Utara, Khalid berkata, beliau tidak mahu membuat kesimpulan awal.

“Kami akan menjalankan siasatan menyeluruh mengenai kematiannya.”

Katanya, terlalu awal untuk menghadapkan suspek dalam kes tersebut di mahkamah kerana siasatan belum lengkap.

“Biar selesai siasatan, kita akan mengemukakan kes ini kepada peguam negara untuk tindakan susulan,” katanya.

Susulan pembunuhan Jong Nam, polis Malaysia menahan 4 suspek – seorang wanita menggunakan pasport Vietnam, seorang wanita warga Indonesia, seorang lelaki rakyat Malaysia dan seorang lelaki warga Korea Utara.

Lelaki warga Malaysia itu dibebaskan dengan jaminan polis.

Senjata pemusnah diharamkan PBB dikesan atas mayat Jong Nam


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments