Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Menteri terkejut senjata pemusnah diharamkan muncul di Malaysia

 | February 24, 2017

Shahidan juga berharap pihak berkuasa tempatan boleh mendapatkan bantuan Interpol bagi mengesan pihak mana yang pernah menggunakan agen saraf VX.

Shahidan_Kassim1PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim terkejut bagaimana bahan kimia Ethyl S-2 Diisopropylamino Ethyl Methylphosphonothioate atau agen saraf VX boleh dibawa masuk ke negara ini untuk membunuh Kim Jong Nam.

“Tidak pernah dengar di Malaysia (ada agen saraf VX) ini. Tidak pernah berlaku bunuh orang seperti itu. Cara pembunuhan ini satu benda baru.

“Saya sangat terkejut kerana ada orang tergamak guna alat itu untuk bunuh orang. Ini kerana bahan kimia itu tidak pernah wujud di Malaysia dan negara kita juga tidak pernah ada yang merancang melakukan pembunuhan seperti itu,” katanya kepada FMT hari ini.

Pagi tadi, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dilaporkan berkata, hasil ujian ke atas mayat Jong Nam yang dipercayai diserang 2 wanita pada 13 Februari lalu mendapati kehadiran bahan kimia itu yang dikategorikan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai senjata pemusnah besar-besaran (WMD).

Agen saraf VX disenaraikan sebagai senjata kimia di bawah Jadual 1 Akta Konvensyen Senjata Kimia Malaysia 2005 dan juga Konvensyen Senjata Kimia (CWC) 1997.

Khalid berkata, analisa dilakukan Pusat Analisis Senjata Kimia di bawah Jabatan Kimia Malaysia dan laporan awal jabatan itu mendapati bahan kimia berkenaan berada di luaran mata dan muka abang sebapa kepada diktator Korea Utara, Kim Jong Un.

Shahidan juga menjangkakan siasatan untuk mengesan cara bahan kimia itu dibawa masuk ke Malaysia sukar.

“Bahan kimia ini sudah cukup membuatkan rakyat Malaysia yang tidak pernah alami ini terkejut dan bagaimana orang asing boleh buat demikian.

“Namun, polis juga tentunya akan hadapi masalah berikutan bahan ini sudah pasti dalam bentuk jenama ubat tertentu dan sukar dikesan. Jika benar, kita juga perlu merujuk Kementerian Kesihatan sama ada bahan ini boleh dibawa masuk dalam bentuk ubat.”

Beliau juga berharap pihak berkuasa tempatan boleh mendapatkan bantuan Interpol bagi mengesan pihak mana yang pernah menggunakan agen saraf itu.

“Saya nak beritahu bahan kimia itu tidak pernah wujud di Malaysia. Jika berlaku sudah pasti akan melibatkan negara-negara luar yang berminat menggunakan bahan itu.

“Kita akan lihat sama ada orang yang disyaki mengaku menyuntik cecair berkenaan ke orang berkenaan. Kalau mereka mengaku, perlu siasat mereka ejen dari negara mana dan itu harus dirujuk Kementerian Luar untuk tindakan seterusnya,” katanya.

Pada 13 Februari lalu, Jong Nam yang sedang menunggu penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) untuk ke Macau, diserang wanita yang menekup mukanya dengan sehelai kain yang dipercayai mengandungi cecair beracun.

Beliau dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya dan kematiannya mencetuskan krisis diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara yang mahu mayat Jong Nam dikembalikan tanpa bedah siasat.

Siasatan polis Malaysia setakat ini mendapati Jong Nam diracuni dan ramai percaya ia merupakan angkara pembunuh upahan rejim Pyongyang yang tidak menyenangi anak sulung kepada bekas pemimpin Korea Utara, Kim Jong Il itu.

Senjata pemusnah diharamkan PBB dikesan atas mayat Jong Nam


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments