PM umum pembinaan jalan berasaskan getah
Pembinaan sedikit mahal berbanding biasa tetapi jimat dari segi penyelenggaraan, kata Najib
PEKAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pembinaan beberapa jalan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan luar bandar menggunakan bahan berasaskan getah bagi memastikan getah terus mendapat permintaan tinggi dalam pasaran.
Beliau berkata langkah itu dilihat mampu menjimatkan kos dan tempoh penyelenggaraan selain lebih menguntungkan berbanding membina jalan biasa walaupun kos pembinaan peringkat awal mahal sedikit.
“Harga getah hari ini sudah melambung naik, ini adalah sedikit sebanyak hasil usaha kita walaupun ia ditentukan oleh pasaran dunia, tetapi kerajaan boleh mengusahakan supaya pasaran getah dan sawit Malaysia lebih mendapat sambutan.
“Jadi, langkah tambahan yang saya telah putuskan ialah kita hendak buat beberapa jalan JKR dan jalan luar bandar yang menggunakan bahan-bahan getah…biarlah mahal sikit pun, tak apa.
“Tetapi penyelenggaraannya kita jimat…dan ini akan menyebabkan permintaan untuk getah akan terus bertambah,” katanya ketika berucap pada majlis Penyampaian Surat Pentauliahan kepada 213 peserta baharu Rancangan Tanah Kelompok (RTK) Felcra Bukit Sijau dekat sini hari ini.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Turut hadir Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pengerusi Felcra Datuk Seri Bung Mokhtar Radin.