Di sebalik niqab, antara pilihan dan syariat
Tiada surah dalam al-Quran atau hadis menyuruh wanita menutup muka dengan niqab, kata pengarah Islamic Renaissance Front.
Namun Islam sebenarnya tidak mewajibkan wanita menutup wajah, kata Pengarah Islamic Renaissance Front (IRF) Dr Ahmad Farouk Musa.
“Tiada surah dalam al-Quran atau mana-mana hadis menyuruh wanita menutup muka mereka dengan niqab,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata pendirian itu sama dengan Nasiruddin al-Albani, seorang pakar hadis terkenal. Al-Albani berpandangan wanita tidak wajib menutup muka dan tangan mereka.
Farouk memetik hadis di mana Nabi Muhammad dilaporkan berkata wanita boleh mendedahkan tangan dan muka. Al-Albani, dalam kajiannya ke atas koleksi hadis Abu Dawud, mengangkat hadis itu sebagai sahih kerana ia daripada Ummu Salamah, seorang isteri nabi, dan riwayat itu bebas daripada personaliti meragukan.
“Terdapat 1 lagi yang disusun oleh At-Tabrani dan Al-Baihaqi di mana sanad adalah berstatus hasan (diterima),” kata Farouk.
“Dengan 2 bukti sokongan ini, Nasiruddin mengredkan ia sebagai hadis sahih.”
Farouk juga memetik profesor sekolah undang-undang Universiti California, Khaled Abou al-Fadl tentang persoalan aurat.
“Beliau mengatakan teks tentang makarim al-akhlak (etika tingkah laku) sering melaporkan pendapat para sahabat nabi dan pengganti mereka bahawa menutup aurat itu lebih kepada nilai moral berbanding fizikal.
“Misalnya, dilaporkan memelihara aurat melibatkan menghormati privasi dan maruah orang lain dan bukan semata-mata menghormati integriti fizikal mereka.”
Farouk menambah perbuatan bercakap buruk mengenai seseorang merupakan suatu bentuk pencabulan aurat malah lebih serius berbanding melihat bahagian tubuh.
“Ini sekali lagi menunjukkan kepada hakikat bahawa isu aurat tidak boleh didekati dengan cara formal dan mekanikal yang digunakan oleh orang Islam kontemporari,” katanya.
“Menurut al-Fadl, orang Islam perlu lebih tertumpu kepada memahami dan mencapai kualiti etika yang diseru oleh aspirasi ke arah kesopahan, kerendahan hati dan maruah berbanding displin kod berpakaian yang ketat.”
Tidak semua berniqab kerana agama
Sementara itu, beberapa wanita bercakap kepada FMT mengenai sebab mereka memakai niqab dan kami dapati tidak semuanya berkaitan agama.
Mazratul Abdul Wahab, pemilik kedai butik niqab, berkata kebanyakan pelanggannya membeli niqab kerana berasa selesa memakainya.
“Saya pasti perkara ini sukar untuk difahami orang lelaki, tetapi kebanyakan pelanggan saya suka memakai niqab kerana ia memberikan mereka rasa privasi,” katanya kepada FMT.
“Sesetengah orang suka kehidupan yang lebih peribadi dan menyenangi hakikat mereka tidak akan diganggu ke mana sahaja mereka pergi.”
Malah, selebriti turut mengunjungi butiknya. “Mereka gemar memakai niqab agar tidak diganggu.”
Nurul Shahirah, seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, memakai niqab kerana sifatnya pemalu.
“Sejak kecil lagi saya seorang gadis yang sangat pemalu. Sebab utama saya memakai niqab kerana saya berasa lebih selesa bila memakainya,” katanya.
Nurul berusia 19 tahun dan mula memakai niqab sejak 2 tahun lalu.
“Saya mula memakai niqab semasa berumur 17 tahun, selepas berbual dengan beberapa rakan lelaki.
“Mereka memberitahu saya apa yang mereka fikir terhadap wanita yang tidak menutup aurat dan ia membuatkan saya malu. Sejak itu saya memakai niqab.”
Penulis blog Aishah Nur Hakim pula memakai niqab atas sebab kerohanian.
“Saya mula memakai niqab kembali pada 2009,” katanya. “Pada masa itu agak sukar melihat wanita berniqab, tidak seperti hari ini.”
“Sebelum saya memilih memakai niqab, saya sangat nakal dan selalu keluar waktu malam, berulang-alik dari Seremban ke Kuala Lumpur.
“Saya ambil keputusan memakai niqab kerana mahu berubah dan menjadi insan yang lebih baik. Saya tahu ia memerlukan perubahan drastik, jika tidak saya akan kembali kepada cara lama. Niqab adalah jawapan saya dan ia juga mencegah saya melakukan perkara nakal.”
Beliau tidak bersetuju niqab memberikan lebih privasi kerana orang kini lebih memandangnya sejak memakai niqab.
“Saya fikir kalau pakai niqab orang akan berhenti mengganggu dan akan kurang melihat saya. Mereka tidak lagi mengganggu, tetapi sebenarnya mereka lebih perhatikan saya.
“Selalunya kerana mereka nak tengok bagaimana saya melakukan sesuatu sambil memakai niqab, contohnya makan,” katanya.
Katanya keputusan memakai niqab tidak ada kaitan dengan mana-mana aliran Islam tertentu.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Saya suka melibatkan diri dalam perbincangan mengenai aliran berbeza tetapi saya tidak ikut mana-mana. Saya tidak suka dilabel salafi, atau sufi, Islam liberal atau konservatif. Saya hanya seorang Islam,” katanya.