Operasi kesan bahan kimia toksik di klia2 pada 1 pagi
Kawasan yang terbabit dalam operasi itu akan dikepung, tetapi lapangan terbang itu akan beroperasi seperti biasa.
KUALA LUMPUR: Malaysia akan memeriksa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) untuk mengesan bahan kimia toksik, susulan pembunuhan Kim Jong Nam yang dikaitkan dengan agen saraf VX, minggu lalu.
Pihak berkuasa juga berkata, mereka akan mengeluarkan waran tangkap jika seorang diplomat Korea Utara yang dikehendaki berhubung kes itu tidak tampil membantu siasatan.
Jong Nam dibunuh pada 13 Februari lalu di terminal tambang murah itu dengan agen saraf VX, bahan kimia yang dikategorikan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai senjata pemusnah besar-besaran.
Menurut kenyataan Polis Diraja Malaysia, Pasukan Forensiknya bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) akan mengadakan operasi bersepadu itu di klia2 mulai 1 pagi nanti.
Seorang pegawai polis memberitahu Reuters, terminal klia2 tidak akan ditutup, tetapi kawasan operasi itu akan dikepung.
VX ialah satu daripada senjata kimia maut ciptaan manusia. Hanya dengan 10mg agen saraf itu atau setitik sahaja cukup untuk membunuh dalam masa beberapa minit, kata pakar.
Jong Nam sedang menunggu penerbangan di klia2 untuk ke Macau, ketika beliau diserang 2 wanita dengan sejenis cecair racun, pada 13 Februari lalu. Beliau meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Jumaat lalu, polis Malaysia dilaporkan berkata, seorang daripada suspek wanita dalam tahanan mengalami muntah-muntah dipercayai akibat terkena bahan kimia yang digunakan dalam pembunuhan abang sebapa kepada diktator Korea Utara, Kim Jong Un.
Sehingga kini, 4 suspek ditahan polis, iaitu seorang wanita Vietnam, suspek ke-2 dari Indonesia, lelaki tempatan bernama Muhammad Farid Jallaludin dan suspek ke-4 yang merupakan warga Korea Utara, Ri Jong Chol untuk membantu siasatan.
Polis turut mengenal pasti 7 lagi warga Korea Utara sebagai suspek atau individu untuk membantu siasatan polis.
Polis Malaysia juga akan memeriksa lokasi lain di Kuala Lumpur yang pernah dilalui suspek dalam kes pembunuhan Jong Nam.
Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Seri Abdul Samah Mat dilaporkan berkata, polis mengambil sampel dari sebuah kondominium di Jalan Klang Lama yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes itu, Khamis lalu.
Katanya, beliau tidak dapat mengesahkan secara spesifik sama ada sampel itu berupa cecair atau bahan kimia, tetapi sampel itu akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.
Diplomat dikehendaki
Samah turut berkata, Hyon Kwang Song, 44, setiausaha kedua di Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur yang dikehendaki untuk disoal siasat, belum tampil.
Dia ialah seorang daripada 7 warga Korea Utara yang dikehendaki dalam kes itu.
Tempoh “munasabah” akan diberikan kepada diplomat itu untuk tampil sebelum polis mengambil tindakan lanjut. Samah berkata, jika diplomat itu tidak bekerjasama, polis akan mengeluarkan notis mengikut undang-undang Malaysia bagi “memaksa” dia tampil menemui pasukan penyiasat.
“Jika dia gagal tampil selepas notis diberikan, kami akan ambil tindakan selanjutnya dengan mendapatkan waran tangkap dari mahkamah,” katanya.
Tidak jelas jika pegawai kedutaan boleh ditahan kerana polis pernah berkata Hyon mempunyai kekebalan diplomatik.
Empat suspek lain dipercayai sudah melarikan diri ke Korea Utara, manakala 2 lagi masih berada di Malaysia. Samah berkata, kedudukan seorang lagi warga Korea Utara, Ri Ji U, tidak diketahui.
Pegawai Kedutaan Indonesia hari ini dibenarkan menemui rakyatnya, Siti Aisyah – seorang daripada suspek ditahan berhubung pembunuhan itu – buat pertama kalinya sejak dia ditahan.
Siti memberitahu pegawai kedutaan, dia percaya dirinya adalah sebahagian daripada sebuah rancangan realiti TV dan dibayar RM400 untuk menyapu minyak bayi pada Jong Nam di lapangan terbang.
Menurut polis Malaysia, 2 wanita itu pernah berlatih melakukan serangan itu dan diarah membasuh tangan selepas serangan.
Kementerian Luar Vietnam hari ini berkata, wanita Vietnam yang ditahan polis turut mendakwa dirinya mengambil bahagian dalam sebuah video gurauan.
Pegawai Kedutaan Vietnam menemui Doan Thi Huong hari ini.
“Kesihatannya stabil. Dalam pertemuan dengan pegawai kedutaan, Doan Thi Huong berkata dia diperdaya dan fikir dirinya membintangi sebuah video komedi,” kata kenyataan Kementerian Luar.
Kes Jong Nam: Polis periksa klia2 kesan sisa radioaktif
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram