Polis isytihar klia2 bebas ancaman VX
Polis mengisytiharkan klia2 selamat selepas operasi pengesanan selesai dijalankan di semua kawasan yang dikaitkan dengan pembunuhan Kim Jong Nam.
Operasi 1.45 pagi itu melibatkan makmal forensik polis, unit Hazmat bomba dan Badan Perlesenan Kuasa Atomik (AELB) dijalankan di semua kawasan yang berkait kes pembunuhan abang sebapa pemimpin Korea Utara Kim Jong Un.
Kes ini mencetuskan kontroversi apabila Pyongyang melalui kedutaannya memohon Malaysia melepaskan mayat Jong Nam tanpa bedah siasat.
Operasi dijalankan 13 hari selepas kejadian kerana pihak berkuasa menerima laporan awal analisis bahan yang digunakan dalam pembunuhan itu pada 24 Februari.
VX antara senjata kimia paling berbahaya pernah dicipta dalam sejarah manusia. Hanya 10mg ejen saraf itu atau setitik sahaja boleh membunuh dalam beberapa minit, kata pakar.
Jong Nam sedang menunggu di balai berlepas apabila beliau diserang 2 wanita yang mengenakan cecair pada mukanya. Beliau mati dalam perjalanan ke hospital.
Sementara itu, Samah berkata kakitangan Malaysia Airports Holdings Berhad dan anggota polis yang terdedah kepada Jong Nam sudah melakukan pemeriksaan perubatan.
Jumaat lalu, polis Malaysia dilaporkan berkata, seorang daripada suspek wanita dalam tahanan mengalami muntah-muntah dipercayai akibat terkena bahan kimia yang digunakan.
Samah dilaporkan berkata suspek mengalami simptom itu semasa di dalam teksi, dan bukan semasa dalam tahanan polis.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram