Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Malaysia jahil, lembap dalam isu Korea Utara, kata bekas duta

 | February 27, 2017

Kes kematian Jong Nam mendedahkan kelemahan Malaysia dan kejahilan dalam berurusan dengan sebuah regim ala Stalin.

jong-nam-malaysia-3

PETALING JAYA: Seorang diplomat veteran Malaysia berkata Kementerian Luar Negeri dilihat tidak proaktif dalam isu melibatkan Korea Utara, susulan pembunuhan Kim Jong Nam, abang tiri diktator Kim Jong Un, pada 13 Februari lalu.

“Hanya selepas duta Korea Utara melancarkan serangan tanpa asasnya terhadap cara kerajaan menangani kes itu, Wisma Putra akhirnya bersuara, dan itupun hanya memberi jawapan balan kepada duta,” kata Datuk Dennis Ignatius, bekas duta Malaysia ke Kanada.

Dennis bagaimanapun berkata polis mengambil pendirian berbeza dan giat menjalankan siasatan, berbeza dengan Wisma Putra.

Malah, menurutnya, beberapa sumber media antarabangsa juga mengadu, tidak ada sesiapa pun di Wisma Putra yang mahu memberikan komen atau menjelaskan isu mengenai kes tersebut.

Pada 13 Feb, Jong Nam berada di lapangan terbang tambang murah klia2 untuk menaiki penerbangan ke Macau, apabila secara tiba-tiba seorang wanita menekup mukanya dengan kain yang dipercayai mengandungi cecair beracun.

Korea Utara bertegas lelaki itu bernama Kim Chol seperti mana dalam pasportnya.

Kejadian itu mencetuskan krisis diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara, yang mahu mayat Jong Nam dikembalikan tanpa bedah siasat.

Siasatan polis Malaysia setakat ini mendapati Jong Nam diracuni, dan ramai percaya ia merupakan angkara pembunuh diupah regim Pyongyang yang selama ini tidak menyenangi Jong Nam.

Berurusan dengan ‘penyangak’

Dennis berkata kes melibatkan Jong Nam mendedahkan kelemahan dasar luar Malaysia, dan mempersoalkan sikap Malaysia yang bertolak ansur terhadap sebuah regim “penyangak” di mata antarabangsa.

Katanya, ini terbukti apabila Malaysia dijadikan Pyongyang sebagai medan memperkasakan program senjatanya, termasuk menggunakan kemudahan perbankan, disebabkan sekatan ekonomi antarabangsa.

“Korea Utara menggunakan bandar raya seperti Kuala Lumpur bagi menggunakan kemudahan sistem perbankannya, melanggar sekatan PBB.

“Disebabkan kelonggaran terhadap Korea Utara, Pyongyang dapat meluaskan operasinya di Malaysia dan kini terdapat kira-kira 1,000 rakyat Korea Utara di Malaysia, komuniti Korea Utara paling ramai di wilayah ini,” kata Dennis.

Menurutnya, regim ala Stalin seperti Pyongyang menjadikan setiap warganegaranya menjadi agen kerajaannya.

“Adalah naif mempercayai rakyat Korea Utara yang tinggal di Malaysia merupakan ahli perniagaan, usahawan dan pelajar semata-mata. Mereka semua dihantar ke sini sebagai agen negara itu, bagi menjalankan sesuatu misi,” katanya.

Dennis berkata pelbagai agensi di Malaysia seolah-olah senang diperdayakan dalam urusan mereka bersama negara seperti Korea Utara.

Beliau memberi contoh sebuah pameran penjenamaan antarabangsa, Malaysia International Branding Showcase, tahun lalu, yang disertai Korea Utara.

“Salah seorang pegawai kanan perdagangan Malaysia teruja mengatakan Korea Utara kini menjadikan Malaysia pintu masuknya untuk pasaran Asia Tenggara kerana ia mendapati negara ini mempunyai dasar mesra perniagaan.”

Satu lagi contoh diberikan Dennis ialah kerjasama agensi berita nasional Bernama dengan pihak berkuasa Korea Utara, di samping tindakan sebuah universiti tempatan menganugerahkan ijazah kedoktoran kehormat kepada Kim Jong Un atas jasa beliau kepada rakyatnya dalam sektor pendidikan.

“Kita tertanya-tanya apa yang menjadi motivasi di sebalik keputusan yang bodoh seumpama itu,” tulis Dennis.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments