Pengintip Korea Utara: Kami hanya daftar syarikat, kata menteri
Hamzah berkata, polis yang perlu menyiasat sama ada sesebuah syarikat yang didaftarkan di Malaysia ialah agensi perisikan.
Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata demikian sebagai mengulas laporan Reuters mengenai Glocom, sebuah syarikat menjual peralatan perang yang beroperasi dari pejabatnya di Brickfields, dikatakan menutup kegiatan intipan bagi pihak Korea Utara.
“Sama ada mereka perisik atau tidak, itu bukan tugas (KPDNKK). Polis perlu meneliti perkara ini. Sekiranya (dakwaan) itu benar, maka polis perlu mengambil tindakan dan bukannya KPDNKK,” katanya yang dipetik Bernama pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang di KPDNKK hari ini.
Menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kepada Majlis Keselamatan PBB yang dilihat oleh Reuters, pejabat Glocom terletak di tingkat 2 sebuah bangunan usang di Brickfields.
Laporan itu menyatakan Glocom didapati mengiklankan lebih 30 sistem radio untuk organisasi “tentera dan separa tentera” menerusi laman webnya di Malaysia, glocom.com.my, yang kini tidak boleh diakses.
Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata, tindakan akan diambil terhadap pihak yang didapati menyorok ikan kembung atau terbabit dalam aktiviti pencatutan kerana pemerhatian KPDNKK mendapati harga ikan itu naik disebabkan permintaan lebih banyak daripada bekalan ikan yang tidak mencukupi ketika ini.
“Saya sudah maklumkan perkara ini kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani supaya mereka mencari pendekatan sesuai bagi memastikan bekalan mencukupi dan masalah kenaikan harga ikan kembung tidak berlarutan.”
Pada masa sama, Hamzah meminta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengkaji untuk membawa masuk ikan kembung dari luar negara atau menghalang jualan ikan kembung yang ditangkap nelayan tempatan ke negara lain.
Bernama sebelum ini melaporkan kenaikan harga ikan kembung sehingga mencecah lebih RM12 1kg kebelakangan ini di beberapa negeri menyebabkan ramai pengguna mula beralih kepada ayam, ikan kering dan bahan mentah lain yang lebih murah.
Sementara itu, Hamzah berkata, maklumat yang diterima mendapati jualan minyak bersubsidi dalam botol kurang mendapat sambutan berbanding minyak masak bersubsidi dalam paket plastik berharga RM2.50.
Ini kerana, katanya, minyak masak bersubsidi dalam botol 1 liter dijual pada harga RM2.95.
“Pengguna lebih banyak membeli minyak masak bersubsidi dalam paket plastik. Jadi, saya akan beri tempoh 1 atau 2 bulan lagi. Kalau minyak masak bersubsidi dalam botol masih tidak diterima baik pengguna, maka minyak masak bersubsidi 1kg hanya akan dijual dalam paket plastik.”
Korea Utara guna syarikat asing elak sekatan dunia
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram