Insiden ‘saya kenal India’: Universiti patut malu, kata PKR
Ia merupakan antara bahana universiti tidak terbuka dalam perdebatan dan isu sensitif, kata Pemuda PKR.
PETALING JAYA: Pemuda PKR berkata ia tidak terkejut dengan dakwaan membabitkan seorang pensyarah kanan Universiti Malaya yang dituduh menghina 2 pelajar berketurunan India dengan kata-kata perkauman.
“Peristiwa malang ini amat menyedihkan walaupun sebenarnya tidak mengejutkan. Barah perkauman ini masih merebak sehingga pada bila-bila masa barah ini boleh meledakkan ketegangan,” kata Setiausaha Pengelola Pemuda PKR, Syukri Razab.
Beliau berkata pihak universiti harus mengambil tanggungjawab penuh atas kejadian itu, dan berkata ia “patut rasa bersalah dan malu apabila masih ada masyarakat dalam wilayahnya yang masih berminda konservatif”.
Minggu lalu, Timbalan Menteri Pendidikan P Kamalanathan mengumumkan penubuhan panel 5 anggota menyiasat seorang pensyarah Fakulti Pendidikan berpangkat profesor, yang dituduh menghina 2 pelajar India.
Ia selepas mesej viral Facebook dimuat naik Lalitha Sudeshna, menceritakan kejadian itu.
“Ketika kami mengambil tempat, dia tiba-tiba berkata, ‘India, saya tak suka India duduk bersama-sama. Jangan bawa budaya Unitar ke sini. India duduk sama-sama lepas itu akan tiru assignment dan plagiarise. Saya kenal India’,” katanya.
“Kemudian dia berkata kepada saya, ‘You, baju merah, duduk depan sekarang’.
“Kemudian berkata kepada rakan saya, ‘You duduk sana’.”
Lalitha berkata ia bukan kejadian pertama dengan pensyarah itu, kerana pernah menerima kata-kata menyakitkan pada sesi orientasi pelajar.
Syukri bagaimanapun berharap pensyarah terbabit turut diberi peluang membentangkan pendiriannya dalam diskusi terbuka “agar pandangannya boleh diperdebatkan dan diperbetulkan”.
Katanya, apa yang berlaku adalah rentetan daripada universiti yang menghalang perdebatan secara terbuka.
“Universiti terlalu asing daripada perbahasan ilmiah yang secara berani mengupas topik-topik sensitif.
“Melalui diskusi terbuka, suatu pandangan itu boleh dibidas dan akhirnya memberi ruang kepada audien untuk menilai secara bijak dan adil,” tambahnya.
“Peristiwa pensyarah rasis ini perlu diambil iktibar oleh para pentadbir universiti. Universiti yang sepatutnya menjadi sumber untuk melahirkan negarawan rupa-rupanya masih menyimpan benih-benih kemunduran,” kata Syukri
DAP gesa UM gantung ‘profesor’ hina 2 pelajar India
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram