Karut, Khalid tolak teori polis dalang culik aktivis Kristian
Khalid berkata penculikan gaya profesional bukan sesuatu yang pelik.
GEORGE TOWN: Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini menganggap sebagai “karut” dakwaan pihak tertentu mengaitkan pasukan khas terlibat dalam kes penculikan Pastor Raymond Koh di Petaling Jaya bulan lalu.
Ketua polis negara berkata teori konspirasi sebegitu hanya menyukarkan polis mengesan Koh, yang dipercayai diculik sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan SS4B/10 dekat Kelana Jaya pada 13 Feb.
Khalid turut mempersoalkan sebuah perhimpunan di Shah Alam pada Ahad lalu disertai antara lain isteri Koh, Suzana Liew.
“Anda hanya meletakkan nyawa pastor itu dalam bahaya kerana kami pernah berdepan dengan kes di mana penculik menyembunyikan mangsa selama beberapa bulan dan hanya bertindak apabila merasakan keadaan sudah selamat.
“Saya menyeru orang ramai memberi laluan kepada polis meneruskan sisatan dan jangan meletakkan nyawa beliau dalam bahaya.
“Lebih baik anda semua diam,” Khalid memberitahu wartawan di Bayan Lepas, hari ini.
Beliau menyangkal dakwaan pasukan khas polis terlibat dalam melakukan penculikan tahap “profesional”, di mana videonya tersebar baru-baru ini.
“Profesionalisme mereka yang terlibat dalam siri penculikan bukan sesuatu yang baru.
“Pernahkah anda melihat pembunuhan Geng Satu Hati? Anda lihat bagaimana terancangnya mereka, mereka mempunyai rancangan TV dan filem untuk menunjukkan betapa tingginya teknologi mereka, “katanya.
Koh, 62, diculik sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan SS4B/10, kurang 100 meter dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya pada 13 Feb lalu, semasa beliau memandu sebuah kereta Honda Accord bernombor plat ST 5515 D.
Beliau diculik semasa dalam perjalanan ke rumah rakannya di Kelana Jaya. Video insiden itu menunjukkan ia satu rancangan rapi melibatkan lebih daripada 10 lelaki dan 7 buah kenderaan di siang hari.
Keluarga Koh menawarkan ganjaran RM100,000 untuk sebarang maklumat.
Khalid berkata, polis melihat 3 sudut kemungkinan dalam penyiasatan kes penculikan Koh ini, termasuk isu peribadi, penglibatan pelampau dan penculikan untuk mendapatkan wang tebusan.
“Saya harap keluarga beliau tidak melindung apa-apa fakta dari kami, biarkan kami melakukan tugas kami tanpa melibatkan penyiasat persendirian. ”
Khalid juga memerli mereka yang menawarkan diri untuk berunding dengan penculik.
“Dia mahu jadi perunding? Jika tiada panggilan daripada penculik, dengan siapa anda mahu berunding? Lebih baik diam kerana anda hanya membuatkan kerja polis jadi sukar,” katanya.
Naib Presiden Amanah, Datuk Mujahid Yusof Rawa baru-baru ini menawarkan diri untuk berunding dengan penculik, dan melahirkan kebimbangan motif penculikan itu ialah kebencian agama.
Khalid menyeru semua pihak “tidak mensensasikan berita ini sehingga kami dapat kesan beliau”.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Lebih banyak kisah Pastor Koh dipaparkan, hanya meletakkan beliau dalam keadaan bahaya,” katanya.