Pastor Koh masih hilang, pusat bacaannya terpaksa ditutup
Selama ini, Pastor Raymond Koh bertanggungjawab mengutip dana daripada orang awam bagi meneruskan operasi pusat itu.
PETALING JAYA: Pusat bacaan “Harapan Komuniti” diasaskan Pastor Raymond Koh yang hilang diculik sejak 3 minggu lalu, mungkin ditutup bulan ini kerana kekurangan dana.
Sin Chew Daily melaporkan Koh membiayai pusat yang terletak di PJS3/48 Petaling Jaya itu.
Kakitangan pusat itu yang dikenali sebagai Sri Ram berkata, Koh antara individu yang mengutip dana daripada orang awam bagi membolehkan operasi pusat itu diteruskan..
“Beliau ketua agama di pusat ini. Beliau datang 3 kali sebulan dan berbual dengan kanak-kanak serta remaja yang datang ke sini,” katanya dipetik daripada akhbar berbahasa Cina itu.
Koh diculik sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan SS4B/10, kurang 100 meter dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya pada 13 Februari lalu.
Ketika kejadian, beliau dalam perjalanan ke rumah rakannya di Kelana Jaya.
Video insiden itu menunjukkan ia penculikan terancang melibatkan lebih 10 lelaki dan 7 kenderaan pada waktu siang.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Keluarga Koh menawarkan ganjaran RM100,000 untuk sebarang maklumat tetapi sehingga kini, masih belum ada petunjuk jelas mengenai penculikannya.