Badan gereja sedunia mahu Najib arah pencarian Pastor Koh digiatkan
Dalam surat kepada perdana menteri, Majlis Gereja Sedunia mengingatkan akan ugutan yang pernah diterima aktivis itu.
Dalam surat kepada perdana menteri 2 hari lalu, Majlis Gereja Sedunia (WCC) berpusat di Geneva bimbang penculikan Pastor Raymond Koh itu mempunyai motif keagamaan dan boleh menggalakkan perasaan tidak senang di kalangan penduduk minoriti Malaysia.
“Maka saya dengan hormatnya meminta anda mengarahkan supaya penyiasatan terhadap penculikan Pastor Koh digiatkan bagi mengenalpasti lokasinya, dan memastikan dia bebas dan pulang ke pangkuan keluarga,” kata Setiausaha Agung WCC, Dr Olav Fykse Tveit.
Koh, 62, diculik sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan SS4B/10, kurang 100 meter dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya pada 13 Februari. Mangsa memandu kereta Honda Accord berwarna perak dengan nombor plat ST 5515 D.
Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan ke rumah rakannya di Kelana Jaya. Insiden itu dirakam CCTV, yang menunjukkan ia dirancang rapi membabitkan lebih 10 lelaki dan 7 kenderaan pada waktu siang.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum ini menolak dakwaan sesetengah pihak mengenai penglibatan pasukan khas polis dalam penculikan Koh.
Sebaliknya, Khalid mencadangkan 3 motif penculikan: isu peribadi, penglibatan pelampau dan wang tebusan.
“Saya harap keluarga beliau tidak melindung apa-apa fakta dari kami, biarkan kami melakukan tugas kami tanpa melibatkan penyiasat persendirian,” katanya.
Tveit dalam suratnya berkata beliau sedia maklum yang penculikan Koh dilakukan secara teratur, dan mempunyai unsur keganasan.
Katanya, Koh pernah menerima ugutan.
“Dia pernah dituduh cuba menyebarkan agama Kristian dan beberapa kali menerima ugutan.
“Amat dihargai kebebasan beragama di Malaysia dinyatakan di dalam Perlembagaan Malaysia dan majoriti penduduknya hidup aman di dalam negara anda yang berbilang budaya dan agama.
“Tetapi insiden ini yang mencetuskan kebimbangan dan keprihatinan terhadap nyawa dan keselamatan Pastor Koh, juga menggalakkan rasa kurang senang di kalangan penduduk minoriti,” kata Tveit.
Karut, Khalid tolak teori polis dalang culik aktivis Kristian
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram