Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Belum sedia laksana daftar automatik kerana skop tugas SPR sensitif

 | March 16, 2017

SPR tidak mahu dipersalahkan sekiranya terdapat sebarang masalah yang timbul berhubung pembaharuan berkaitan pendaftaran pengundi.

Hashim-Abdullah_spr_undi_600KUALA LUMPUR: Skop tugasan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang begitu ‘sensitif’ menyebabkan Malaysia masih belum bersedia melaksanakan sistem pendaftaran pengundi secara automatik.

Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata pihaknya tidak mahu dipersalahkan sekiranya terdapat sebarang masalah yang timbul berhubung pembaharuan berkaitan pendaftaran pengundi.

“Terdapat perkara kadang-kadang kita rasa tidak begitu serius tetapi diambil serius oleh pihak tertentu. Apatah lagi kalau kita buat sesuatu pembaharuan, kalau kita tak bersedia dengan pembaharuan…kita buat, maka banyak perkara yang boleh timbul,” katanya.

Mohd Hashim berkata demikian ketika menjadi tetamu Slot Khas Ekspresi terbitan Bernama Radio bertajuk “Mengundi dan Tanggungjawab Sebagai Warganegara” di Wisma Bernama, di sini hari ini.

Beliau berkata walaupun terdapat gesaan supaya SPR menjalankan sistem pendaftaran pengundi secara automatik, pihaknya yakin sistem pendaftaran pengundi sedia ada masih efisien.

Dalam pada itu, katanya SPR sentiasa berusaha memudahkan proses pendaftaran pengundi termasuk turun ke kawasan pedalaman menggunakan pacuan 4 roda sejak 2 tahun lepas.

Mengenai persempadanan semula kawasan pilihan raya, Mohd Hashim berkata SPR hanya mengambil kira bantahan terhadap persempadanan semula yang relevan, iaitu dikemukakan pengundi sesuatu kawasan terlibat dalam cadangan persempadanan semula itu.

“SPR akan lihat secara keseluruhan dan akan klasifikasikan dari aspek sama ada bantahan itu relevan atau tidak. Kalau ia dibantah kepada satu-satu kawasan yang tidak disentuh, jadi dia bantah untuk apa, ini kita tolak,” katanya.

Beliau berkata selain bantahan daripada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan, pihak ke-3 yang boleh membuat bantahan ialah sekurang-kurangnya 100 pengundi bagi setiap kawasan terlibat boleh mengemukakan bantahan secara rasmi.

Pada 8 Mac lepas, SPR menerbitkan cadangan persempadanan semula yang dikemas kini bagi Semenanjung Malaysia selepas selesai inkuiri tempatan selama 4 bulan untuk mendengar bantahan terhadap cadangan awalnya.

Semua pihak diberi tempoh sebulan bermula 8 Mac sehingga 7 April ini untuk mengemukakan bantahan masing-masing kepada SPR.

Inkuiri tempatan di seluruh negara yang merupakan satu keperluan untuk proses persempadanan semula, berlangsung dari 31 Oktober 2016 hingga 28 Februari lepas.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments