Adakah suami saya masih hidup, soal isteri Pastor Koh
Beratus rakyat Malaysia berkumpul di Taman Tasik Jaya Kelana untuk acara nyalaan lilin untuk Koh dan keluarganya, malam tadi.
“Saya ingin tahu di mana suami saya, adakah dia masih hidup?” tanya Susanna dalam ucapannya di perarakan lilin di Taman Tasik Kelana Jaya malam tadi.
Beliau juga mempersoalkan siapa dalang yang bertanggungjawab dalam kes penculikan itu dan kenapa begitu sukar mengenalpasti penjenayah yang terlibat.
Malam tadi, beratus-ratus orang berkumpul di Taman Tasik Jaya Kelana, tidak jauh dari tempat Koh dilaporkan diculik untuk acara nyalaan lilin untuk Koh dan keluarganya.
Kata Susanna, berpisah selama 35 hari dengan suaminya adalah perpisahan paling panjang sejak mereka berkahwin.
“Saya rindukan dia sebagai sahabat, penasihat, cintanya, pertolongannya dan dia sebagai peguam saya.
“Malam ini, saya mungkin tidak boleh membantu tapi saya percaya beliau sangat menghargai semua sokongan ini dan perhatian orang ramai daripada pelbagai kaum dan agama.
“Penculikan sebegini tidak pernah berlaku dalam negara kita yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, tapi penculikan Koh amat mengejutkan kerana penjenayah itu amat berani dan profesional.
“Kita tidak pernah melihat jenayah sebegini berlaku terhadap seorang lelaki yang “beriman” dan terkenal dengan kerja amalnya,” kata Susanna.
Beliau berterima kasih kepada mereka yang hadir dan mendoakan keselamatan Koh dan berharap mereka yang bertanggungjawab akan menerima balasan.
“Saya dan keluarga berterima kasih untuk simpati dan perpaduan dari segenap lapisan masyarakat, ini membuktikan kami tidak terpinggir.
“Kita juga jangan mudah putus asa dan rasa benci, ini adalah cabaran kita untuk membuktikan kita daripada pelbagai kaum berbeza dengan penculik yang menculik suami saya.”
Koh, 62, diculik sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan SS4B/10, kurang 100 meter dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya pada 13 Februari. Mangsa memandu kereta Honda Accord berwarna perak dengan nombor plat ST 5515 D.
Beliau dalam perjalanan ke rumah rakannya di Kelana Jaya ketika diculik dan menerusi rakaman CCTV, penculikan itu nampak terancang membabitkan lebih 10 lelaki dan 7 kenderaan pada waktu siang.
Pada 9 Mac 2017 lebih kurang jam 3.30 pagi, pihak polis berjaya menangkap suspek, seorang lelaki Cina berumur 32 tahun di Ampang, Selangor hasil maklumat dan kerjasama keluarga mangsa.
Badan gereja sedunia mahu Najib arah pencarian Pastor Koh digiatkan
Biar polis buat kerja, kata isteri Pastor Koh
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram