Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Hakim: Tindakan anak syarikat Proton buang 6 ekspatriat sah

 | March 20, 2017

Mahkamah Perusahaan berkata, Lotus Engineering Malaysia perlu ditutup kerana hutang tidak dikutip dan mereka mempunyai asas untuk memberhentikan pekerjanya.

court-lotus

PETALING JAYA: Mahkamah Perusahaan menolak tuntutan 6 ekspatriat yang diberhentikan sebuah syarikat pengeluar kenderaan sebagai melanggar undang-undang.

Pengerusi tribunal, Mary Shakila G Azariah berkata, pemberhentian oleh Lotus Engineering Malaysia Sdn Bhd itu dibuat berdasarkan alasan dan sebab munasabah.

Katanya, mahkamah berpuas hati dengan alasan pemberhentian itu berpunca daripada kerugian kewangan tulen ditanggung syarikat itu yang diwakili T Thavalingam.

“Ia adalah hak setiap majikan untuk menyusun semula perniagaannya dalam sebarang cara untuk tujuan ekonomi atau kemudahan, dengan syarat ia adalah tindakan bona fide,” katanya dalam keputusannya minggu lalu.

Bagaimanapun, beliau berkata, kes itu adalah penutupan operasi perniagaan syarikat itu disebabkan hutang tidak dikutip.

“Semua 6 pihak mengemukakan tuntutan itu bersetuju pelanggan utama syarikat itu ialah Youngman dari China. Seorang saksi syarikat itu memberi keterangan ia tidak dapat mengutip wang yang dihutang Youngman,” katanya.

Mary Shakila berkata, berdasarkan fakta dan bukti, mustahil syarikat itu dapat meneruskan perniagaannya.

“Pihak yang mengemukakan tuntutan itu tidak memberi sebarang bukti bagi menunjukkan pemberhentian itu bermotifkan niat jahat dan untuk menjadikan mereka mangsa atau mengganggu mereka.”

Menurut hakim, syarikat itu mungkin menanggung kerugian disebabkan keputusan pengurusan teruk, tetapi ia tidak menghilangkan haknya untuk memberhentikan pekerja.

Katanya, majikan tidak diwajibkan mencari pekerjaan sesuai untuk pekerja berlebihan, khasnya jika pemberhentian itu dilakukan tanpa melanggar undang-undang.

Mary Shakila berkata, pihak mengemukakan tuntutan itu adalah ekspatriat yang diupah berdasarkan kemahiran khusus mereka dan ini menjadikan pencarian kerja lain yang sesuai bagi mereka sukar.

“Akan ada isu permit kerja yang perlu dimohon semula, tidak seperti pekerja tempatan syarikat itu berpindah ke syarikat lain yang berkaitan.

“Dalam keadaan itu, tidak munasabah untuk pihak mengemukakan tuntutan itu diambil semula Kumpulan Proton atau syarikat itu yang sudah menamatkan operasinya.”

Andrew David Nicolson, Ian Maxwell, Stuart Ian Worrow, Lee Michael Jones, Douglas Robert Chester dan Matthew Clive Walton diberhentikan kerja pada 30 September 2012.

Mereka diambil bekerja berdasarkan kontrak jangka tetap dengan permit kerja sah yang dikeluarkan Jabatan Imigresen.

Mereka berkata, majikan sudah menjanjikan kerja dan peluang lain untuk ditempatkan semula dalam DRB-Hicom, Kumpulan Proton atau Lotus.

Mereka mendakwa majikan itu berjaya memberi pekerjaan alternatif kepada 58 rakan sekerja tempatan lain dalam kumpulan syarikat itu.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments