Tutup mulut anda, Khalid selar publisiti kes Pastor Koh
Polis berkata spekulasi membantutkan usaha mendapatkan butiran baru dalam penculikan aktivis itu.
Mengakui kes itu kini menemui jalan buntu, beliau dengan tegasnya mengulangi kenyataan supaya kes culik yang melibatkan wang tebusan, tidak diberi publisiti supaya pihak polis ada ruang seluas-luasnya bagi menyiasat dan menyelamatkan mangsa.
“Bila perkara ini banyak diperbualkan dan menimbulkan spekulasi dalam media, ia telah membahayakan mangsa.
“(Dan) saya amat risau, sebab sekarang siasatan kita buntu kerana kita tiada maklumat lanjut mengenai kehilangan pastor ini dan saya percaya ini adalah akibat terlampau banyak publisiti diberi kepada kehilangan pastor ini,” kata beliau kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas maklumat terkini berkaitan kes penculikan Pastor Raymond pada 13 Feb lepas.
“Kepada media, orang perseorangan dan NGO yang mahu melibatkan diri dalam kes penculikan, tutup mulut anda kerana ia mengakibatkan bahaya yang tinggi tahapnya kepada mangsa,” kata beliau.
Berkenaan dengan lelaki yang ditahan awal bulan ini, beliau berkata lelaki tersebut didapati seorang opportunis dan tidak terlibat dalam melarikan pastor berkenaan.
“Dia cuma mahu mengambil kesempatan ke atas keluarga kerana banyak sangat yang dihebohkan sana sini menyebabkan ada orang yang mahu mengambil kesempatan.
“Orang yang sebenarnya terlibat dalam melarikan Pastor Raymond ternyata berhati-hati dan apabila cerita dah heboh satu dunia, kita tak tahu apa yang jadi pada dia (mangsa),” kata beliau.
“Tiada petunjuk lagi sekarang. Saya bersama dengan keluarga itu. Kami bimbang juga,” katanya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram