Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Zaid: Hanya jutawan seperti TMJ boleh terajui FAM

 | March 20, 2017

Zaid Ibrahim berkata, bola sepak zaman ini hanya boleh dimajukan 'billionaire' seperti TMJ yang cintakan sukan itu dan tidak begitu memikirkan untung rugi.

zaid-annuar-tmjKUALA LUMPUR: Bekas menteri, Datuk Zaid Ibrahim menyokong Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dipilih menerajui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada pemilihan 25 Mac ini.

Dengan menyifatkan masalah dihadapi pentadbiran FAM sebagai “penyakit”, Zaid berkata, hanya 1 keputusan boleh menyelamatkan bola sepak negara.

“Untuk mengubati semua penyakit itu, ia hanya boleh dilakukan seorang anak raja billionaire.

“Kalaulah saya boleh mengundi Sabtu ini, saya pilih TMJ untuk memimpin FAM,” tulisnya dalam catatan terbaru di blognya hari ini.

TMJ akan merebut kerusi presiden FAM dengan Tan Sri Annuar Musa menerusi pertembungan 1-lawan-1, pada pemilihan anggota Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2017-2021 yang diadakan serentak dengan Kongres Tahunan FAM ke-53, Sabtu ini.

Zaid berkata, bola sepak zaman ini hanya boleh dimajukan “billionaire” seperti TMJ yang cintakan sukan itu dan tidak begitu memikirkan untung rugi.

“Lihat saja bagaimana Roman Abramovich memajukan Chelsea dan pemilik King Power International dari Thailand, Vichai Srivaddhanaprabha meletakkan Leicester City (pasukan bawahan dalam Liga Perdana Inggeris) di puncak kemasyhuran bola sepak sekarang.

“Bola sepak Korea Selatan juga maju dan cemerlang kerana ditaja syarikat swasta yang kaya seperti Hyundai dan Posco. Malah di China ketika ini, banyak kelab bola sepaknya dimiliki billionaire sehingga ia berkembang maju dengan pantas serta menjadi sebutan di seluruh dunia.”

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, ada yang mengatakan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin lebih suka Annuar berbanding Tunku Ismail untuk menerajui FAM.

“Kalau betul, ini juga bertentangan peraturan Fifa yang melarang kerajaaan/menteri campur tangan dalam hal ehwal persatuan bola sepak.

“Malah, saya percaya Khairy dan TMJ boleh bekerjasama. Mereka berdua mempunyai banyak persamaan – kaya-raya, muda, handsome dan suka bola sepak.”

Annuar “baik orangnya”

Zaid yang menyertai DAP pada 7 Februari lalu berkata, beliau tahu masalah dihadapi bola sepak negara kerana pernah menjadi penasihat undang-undang FAM.

Katanya, walaupun Annuar kaya, tetapi beliau percaya penasihat Kafa itu tidak sanggup menghabiskan wangnya untuk menyelesaikan masalah dihadapi bola sepak negara.

“Hanya saorang billionaire yang cintakan bola sepak mampu melakukannya.”

Menyifatkan Annuar “baik orangnya”, Zaid berkata, bekas menteri belia dan sukan serta timbalan presiden FAM itu pernah membantu skuad Kelantan meraih kejayaan ketika memimpin Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).

“Annuar sebagai ketua penerangan Umno, beliau ada tugas lain yang lebih penting untuk parti dan menjaga bosnya, Datuk Seri Najib Razak.

“Beliau pun besar kemungkinan menjadi menteri kanan jika Umno menang di Kelantan (pada pilihan raya umum akan datang).”

Sehubungan itu, beliau menggesa ahli FAM berfikir secara praktikal dan memilih TMJ sebagai presiden FAM berdasarkan kejayaan pemilik skuad Johor Darul Ta’zim yang mencapai prestasi hebat itu, membawa banyak kemajuan kepada bolak sepak negeri itu.

Dengan menekankan kegagalan bukan pilihan buat TMJ, Zaid berkata, pewaris takhta Johor itu pasti akan melakukan apa sahaja untuk menjayakan bola sepak negara.

 

Sultan Johor: TMJ sangat yakin boleh ubah FAM, minta diberi satu penggal

Najib sokong visi, misi saya, kata TMJ

TMJ, Annuar Musa sah berebut jawatan presiden FAM


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments