Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Adik ipar Jokowi didakwa atas tuduhan rasuah

 | March 21, 2017

Pendakwa raya Suruhanjaya Membasmi Rasuah menuduh Arif Budi Sulistyo ialah broker dalam perjanjian menyelesaikan tunggakan cukai PT EK Prima Ekspor Indonesia.

Arif-Budi-Sulistyo_law_600

PETALING JAYA: Adik ipar Presiden Indonesia, Joko Widodo, dihadapkan ke mahkamah di Jakarta, semalam, atas tuduhan rasuah dengan bertindak sebagai orang tengah untuk menyelesaikan masalah cukai sebuah syarikat, lapor Jakarta Post.

Arif Budi Sulistyo yang berkahwin dengan adik bongsu Jokowi, Titik Relawati, ialah pengarah operasi syarikat utama keluarga Jokowi – PT Rakabu Sejahtera.

Arif memberi keterangan berhubung perbicaraan rasuah Ramapanicker Rajamohanan Nair, seorang ahli perniagaan didakwa memberi suapan kepada seorang pegawai cukai berpangkat pertengahan, Handang Soekarno.

Nair ialah pengarah negara PT EK Prima Ekspor Indonesia — sebuah unit tempatan untuk gergasi runcit, LuLu Group International yang berpangkalan di Abu Dhabi.

Dalam pendakwaan mereka, pendakwa raya Suruhanjaya Membasmi Rasuah (KPK) menuduh Arif ialah broker dalam perjanjian menyelesaikan tunggakan cukai PT EK.

Arif ialah rakan kongsi Nair, dengan perabot yang dihasilkan Rakabu menembusi pasaran luar negara melalui PT EK.

Dalam perbicaraan semalam, Arif mengakui dia ialah rakan kongsi perniagaan Nair dan sedar ketika jenayah itu didakwa berlaku, PT EK sedang mencari bantuan untuk mendaftar bagi mendapatkan pengampunan cukai, inisiatif kerajaan untuk meningkatkan hasil cukai dengan menawarkan kadar penembusan longgar bagi cukai tidak dibayar.

Arif berkata, dia sekadar mencari jalan bagi syarikat Nair menyelesaikan masalah akibat pendaftaran pengampunan cukai.

“Saya minta Mohan hantar semua dokumen berkaitan syarikatnya kepada saya dan apabila saya terimanya, saya serahkan terus kepada Handang tanpa membacanya,” katanya merujuk Nair sebagai Mohan.

Arif mendakwa alasan menyerahkan dokumen PT EK kepada Handang kerana pegawai cukai itu sudah membantu dia mendaftarkan syarikatnya untuk pengampunan cukai dan menganggap Handang ialah orang tepat untuk menyelesaikan masalah cukai Nair.

Dia turut mendakwa mengenali Handang – suspek dalam kes rasuah itu menerusi sebuah mesyuarat yang turut dihadiri Ketua Pengarah Percukaian, Jeneral Ken Dwijugiasteadi di pejabatnya untuk bertanya mengenai pengampunan cukai.

Arif mendakwa dia tidak tahu kenapa PT EK gagal mendaftar untuk pengampunan cukai.

Nair ditahan penyiasat KPK pada 21 November 2016 dengan sejumlah besar wang yang didakwa untuk merasuah Handang. Dalam pendakwaannya, KPK membayangkan Arif memainkan peranan lebih luas dalam skandal itu.

Dalam kertas pendakwaan yang diperolehi The Jakarta Post awal tahun ini, Nair didakwa meminta bantuan Arif pada September 2016.

Arif kemudiannya meminta Ketua Pejabat Cukai Khas Jakarta, Muhammad Haniv mengatur pertemuan dengan Ken melalui Handang, yang juga dikenali sebagai orang kepercayaan Ken.

Kes ini bermula apabila Nair mencabar satu permintaan dikemukakan pejabat cukai pelaburan asing pada Jun 2016 untuk menyelesaikan cukai tidak dibayar bernilai Rp59 bilion (AS$4.4 juta) bagi hasil syarikat yang diterima daripada eksport gajus pada 2014 dan 2015.

Nair memfailkan permohonan pengampunan cukai untuk PT EK pada September bagi menyelesaikan tunggakan cukai, tetapi ia ditolak selepas pejabat cukai mendapati syarikat itu mempunyai satu lagi cukai tidak dibayar berjumlah Rp51 bilion pada 2014 dan Rp26 bilion pada 2015.

Ini adalah kes rasuah pertama membabitkan ahli keluarga Jokowi, yang menggilap imejnya sebagai ahli politik bersih menjelang pilihan raya presiden 2014. Arif menjadi jurucakap keluarga Jokowi ketika kempen pilihan raya itu.

Bulan lalu, Jokowi berjanji tidak akan campur tangan dalam siasatan kes adik iparnya dengan berkata: “Apabila seseorang melakukan kesalahan, mereka perlu didakwa.”

Penyelidik Transparency International Indonesia, Wawan Heru Suyatmiko berkata, tidak mungkin Jokowi terlibat dalam rasuah itu memandangkan Arif tiada peranan birokratik dalam kerajaan pimpinan Jokowi.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments