Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Kita contohi Aceh, kata exco Terengganu mengenai pawagam ‘patuh syariah’

 | March 21, 2017

Pawagam pertama negeri itu sejak 2 dekad tidak melaksanakan pengasingan penonton lelaki dan wanita tetapi memberi kebebasan kepada semua peringkat umur.

Ghazali-Taib

PETALING JAYA: Kerajaan Terengganu mempertahankan tindakan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah pawagam di negeri itu, dan berkata ia langkah wajar mencegah maksiat di kalangan pasangan bukan muhrim.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-tugas Khas Negeri, Ghazali Taib yang juga bertanggungjawab hal ehwal agama, berkata pasangan bukan muhrim yang ingin menonton wayang bersama masih dibenarkan selagi mereka tidak melakukan perkara yang bertentangan dengan hukum agama.

“Panggung yang kita nak buat nanti bukan untuk menyusahkan pengguna. Saya pergi ke Aceh, mereka juga ada panggung wayang, asalkan mereka yang pergi itu tidak buat jenayah takzir, tidak melanggar syariah, tidak ada masalah.

“Kita di Terengganu akan menjadikan Aceh sebagai contoh,” katanya.

Aceh di Indonesia, yang dikurniakan status wilayah khas oleh Jakarta, dibenarkan menguatkuasakan undang-undang syariah di bawah kanun jenayah sejak 2014.

Terengganu baru-baru ini dilaporkan memiliki sebuah pawagam, kali pertama dalam 20 tahun.

Bagaimanapun, ia unik dan mempunyai ciri “patuh syariah”, serta dilengkapi CCTV di mana gerak-geri penonton boleh disaksikan orang ramai melalui siaran langsung di skrin lobi pawagam itu.

Remaja nakal dalam gelap

Pawagam yang terletak di PB Central di Kuala Terengganu itu bagaimanapun tidak melaksanakan pengasingan penonton lelaki dan wanita, mahupun pemasangan lampu ketika tayangan filem.

Ghazali berkata langkah itu menunjukkan Islam bukan agama yang ekstrem.

“Islam bukan begitu. Tujuan kita mendidik dan memberi kebaikan. Selama mereka yang menonton tidak melanggar syariah Islam, tidak ada masalah,” katanya dihubungi FMT.

Ghazali menafikan langkah itu menunjukkan rakyat Terengganu rendah moral, sebaliknya ia memberikan kepada semua peringkat umur untuk berhibur.

“Cuma kita letak CCTV sebagai langkah pencegahan daripada terjebak dengan zina.

“Setengah remaja ini kalau duduk dalam gelap dia nakal sikit, tapi kalau mereka tengok ada CCTV, mereka tak buat perkara yang tidak senonoh. Bukan bermakna kita nak tangkap dan nak sebat mereka, tapi sebagai pencegahan,” katanya.

Bagaimanapun, Ghazali berkata pemasangan CCTV belum diputuskan dan masih dalam perbincangan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) dan mesyuarat kerajaan negeri.

“Isu ini tidak boleh diputuskan tergesa-gesa, sebab pelbagai sudut perlu dilihat di mana selain sudut agama, kita juga kena lihat suduh kepentingan kepada pihak yang membuat operasi sebab mereka mahu pelanggan datang,” katanya.

Pendirian Ghazali disokong Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Mohd Jidin Shafee, yang berkata cadangan pemasangan CCTV itu menjaga keselamatan serta kepentingan awam.

Tengok wayang di Terengganu? Anda diperhati


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments