Kit Siang jawab poster ‘hilang’ esok
Katanya beliau menghadiri sidang Dewan Rakyat dan mempunyai urusan di Kedah sebelum pulang ke Johor esok
PETALING JAYA: Ketua Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang dijangka pulang ke Parlimen Gelang Patah, Johor esok untuk membuktikan beliau “tidak hilang”.
Kit Siang kini berada di Kuala Lumpur untuk sidang Dewan Rakyat.
Beliau akan menjawab isu poster dan sepanduk mengumumkan “kehilangan” beliau yang ditemui berhampiran pusat khidmat masyarakatnya di Gelang Patah esok.
“Bukan hari ini. Saya akan jawab di Gelang Patah esok.
“Akan berada di Kulim malam ini dan Alor Setar esok pagi,” katanya kepada Malaysiakini.
Poster tertera “Pernahkah anda melihat Pakcik Kit Siang?” ditampal berhampiran pusat khidmat masyarakat DAP di Taman Nusa Perintis.
Poster itu menyatakan: “Hilang selama berbulan-bulan jika tidak bertahun sudah. Sila bantu mencari. Kami sangat merindui beliau.”
The Star melaporkan nombor telefon bimbit yang tertera pada poster itu tidak beroperasi.
Ketua Umno Bahagian Gelang Patah Khairi A Malik memberitahu The Star yang BN tidak ada kaitan dengan poster itu.
Turut dilaporkan semasa pilihan raya kecil Teluk Intan 2014, ahli Pemuda Gerakan Rich Too mengedarkan 100 salinan poster seperti itu kepada pengundi.
Ketua Pemuda Gerakan Tan Keng Liang di Twitter menggesa Kit Siang mendedahkan berapa banyak hari beliau berada di Parlimen Gelang Patah.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Bagaimanapun, Ketua Pembangkang Johor Gan Peck Cheng mempertahankan Kit Siang, memuji beliau melakukan tugas membangkitkan isu negara dengan baik, dan poster itu cubaan untuk mencemar nama baiknya.