Pekerja Nepal maut jatuh atas gondola, hempap pekerja Bangladesh
Polis percaya Bhim Bahadur terjatuh dari tingkat 23 atau 17 kerana aras itu saja ada ruang terbuka.
Warga Nepal berkenaan, Bhim Bahadur Katuwal, 31, yang dipercayai terjatuh dari tapak pembinaan bangunan baharu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mati di tempat kejadian.
Rakan sekerjanya pula, seorang warga Bangladesh, Mohammad Abul Hosen, 45, patah tangan kanan selepas dihempap mangsa dalam kejadian jam 8.50 pagi dan dibawa ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Rosly Hassan ketika dihubungi berkata polis tidak menolak kemungkinan Bhim Bahadur terjatuh daripada tingkat 23 atau tingkat 17 kerana aras tersebut sahaja mempunyai ruang terbuka.
“Siasatan mendapati semasa Mohammad Abul sedang memasukkan peredup ke dalam gondola tiba-tiba mangsa jatuh ke atas gondola itu lalu menghempapnya,” kata Rosly.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Rosly berkata setakat ini tiada saksi yang melihat kejadian itu dan kes yang masih dalam siasatan ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut.