Sebenarnya lebih banyak manfaat beli dari sewa
Jangan putus asa membeli hartanah sendiri, kata ketua pakar hartanah.
Ketua Pelaburan Axis Real Estate Investment Trust (REIT) Managers Bhd Siva Shanker berkata manfaat pemilikan hartanah mengatasi manfaat sewa dalam jangka masa panjang.
Beliau menjawab kenyataan seorang lagi pakar hartanah, Ernest Cheong. Dalam temubual bersama FMT, Ernest berkata sewa merupakan pilihan yang lebih berkesan berbanding membeli rumah, lantaran harga hartanah yang tinggi dan kenaikan kos sara hidup.
Bercakap mengenai keadaan semasa di mana harga tinggi walaupun terdapat lebihan bekalan, Siva berkata ia diakibatkan oleh spekulasi beberapa tahun lalu, apabila penasihat hartanah menasihatkan orang ramai membeli rumah untuk dijual bagi mendapatkan keuntungan segera.
“Penasihat beritahu orang ramai, ‘Beli hartanah RM600,000 yang sedang dibina dan dalam masa 2-3 tahun, jual pada harga RM800,000,” katanya, dan menambah spekulasi kebanyakannya melibatkan unit SoHo (rumah pejabat).
“Mereka yang membeli hartanah hasil daripada spekulasi merasakan mereka terpedaya. Walaupun pasaran hartanah sedang membetulkan bekalan dan permintaan, itu tidak bermakna pasaran hartanah sedang menjunam.”
Apabila pasaran menjunam, katanya kepada FMT, akan berlaku banyak kejadian kegagalan membayar hutang dan hartanah dirampas. Ini tidak berlaku, katanya.
Siva, yang juga bekas presiden Institut Ejen Hartanah Malaysia meminta orang ramai supaya jangan berputus asa mengimpikan kediaman sendiri.
“Kita tidak boleh ramal apa yang akan berlaku dalam 30 tahun akan datang, tetapi ini tidak bermakna jangan beli hartanah,” katanya, dan menambah sebuah hartanah boleh menjadi perlindungan terbaik melawan inflasi.
“Beli ikut keperluan. Beli ikut kemampuan. Jangan beli untuk tujuan spekulasi.”
Beliau mengesyorkan orang ramai supaya mengamalkan pemikiran berdagang ketika membeli hartanah.
“Secara amnya, gaji kamu akan meningkat setiap tahun. Apabila kamu membeli rumah pertama, pilih rumah yang mampu dibayar untuk beberapa tahun. Apabila pendapatan bertambah, kamu boleh jual rumah itu dan beli hartanah yang lebih besar.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Dengan cara itu, kamu tidak akan terikat kepada beberapa hartanah sekaligus.”