Pakatan Harapan jenama dikenali ramai, kata Dr M
Bekas perdana menteri teragak-agak menukar nama kepada Barisan Rakyat, seperti yang dicadangkan Presiden PPBM Muhyiddin Yassin.
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad nampaknya teragak-agak dengan cadangan menukar nama Pakatan Harapan kepada Barisan Rakyat.
Beliau berkata PH jenama yang dikenali ramai.
“Kita akan tunggu keputusan jawatankuasa teknikal yang akan mengkaji cadangan itu.
“Tetapi kita perlu mengambil kira yang orang ramai sudah terbiasa dengan Pakatan Harapan,” kata pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kepada pemberita selepas mesyuarat dengan kepimpinan PH di Parlimen hari ini.
Bekas perdana menteri berkata demikian mengulas kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengatakan pakatan yang dipimpin orang Melayu cara terbaik untuk memenangi pilihan raya umum akan datang melawan Barisan Nasional.
Presiden PPBM berkata sekiranya pimpinan PH bersetuju, pakatan pembangkang perlu menukar namanya kepada Barisan Rakyat.
“Mungkin kita boleh minta namakan Barisan Rakyat, Barisan Rakyat menentang Barisan Nasional,” katanya pada Ahad menurut laporan Malaysiakini.
Selain PPBM, PH dianggotai DAP, PKR dan Amanah.
Dr Mahathir berkata logo PH akan dibincangkan pada mesyuarat minggu depan.
Pengerusi PPBM itu sebelum ini mendesak pakatan pembangkang supaya menampilkan barisan yang bersatu di bawah 1 logo dan manifesto pada pilihan raya akan datang.
Ketika ditanya sama ada beliau sukacita dapat mengambil bahagian dalam pilihan raya umum akan datang – yang dijangka akan diadakan antara September dan Mac tahun depan – Dr Mahathir tidak pasti akan bertanding.
Beliau bagaimanapun berharap pembangkang akan dapat menawan Putrajaya, kerana ia tidak mustahil.
“Tiada apa yang kekal dalam politik dan cinta.”
Sementara itu, Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata parti Pakatan Harapan akan didaftarkan sebagai pakatan rasmi sebelum pilihan raya umum.
“Kita akan mendaftarkan Pakatan dan 18 pimpinan kanan akan dimasukkan dalam pendaftaran itu sebelum pilihan raya umum.”
Mohamad bersetuju untuk mengemukakan logo dan manifesto bersama pada pilihan raya nanti.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Beliau menambah rundingan kerusi masih di peringkat awal kerana mereka tidak tahu bila pilihan raya akan diadakan.