Perak perlu RM162 juta untuk gelanggang sukma 2018
Kerajaan negeri menganggarkan kos RM162 juta untuk pembinaan dan menaik taraf gelanggang bagi temasya Sukan Malaysia tahun depan
IPOH: Kerajaan Perak menganggarkan kos sebanyak RM162 juta untuk pembinaan dan menaik taraf gelanggang bagi temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-19 tahun depan.
Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata kos itu membabitkan pembinaan semula kolam renang serta menaik taraf beberapa gelanggang lain termasuk lapang sasar dan Stadium Perak.
“Baik pulih Stadium Perak dianggarkan berharga RM15 juta hingga RM20 juta manakala lapang sasar pula sekitar RM12 juta.
“Kolam renang kita terpaksa bina semula sebab sudah terlalu uzur. Ia dianggar menelan kos RM45 juta dan kompleks renang itu dijangka siap pada Januari depan serta mampu menampung sehingga 2,000 penonton,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Podium Perak (P3) di sini, hari ini.
P3 dilaksanakan sebagai persediaan atlet elit negeri ini mencapai kecemerlangan dalam sukan yang disertai, sekali gus melahirkan atlet bertaraf antarabangsa dan kebangsaan.
Menurut Zambry, program itu diharap dapat merealisasikan hasrat Perak menjadi antara negeri yang banyak mengumpul pingat emas.
“Adalah malang sekiranya kita masih terkebelakang berbanding pencapaian negeri lain.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Setakat ini kita sudah mengenal pasti 65 atlet daripada 24 jenis sukan yang kesemuanya berpotensi memenangi pingat emas,” katanya.