Presiden Perancis tiba di Malaysia untuk lawatan 2 hari
Najib Razak dan Francois Hollande dijangka menandatangani beberapa perjanjian dan memorandum persefahaman untuk mempereratkan kerjasama 2 hala
SEPANG: Presiden Perancis Francois Hollande tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini, hari ini untuk memulakan lawatan negara 2 hari di Malaysia.
Ketibaan Hollande dengan jet peribadi pada kira-kira 8.25 malam ini, disambut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun selaku Menteri Pengiring dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Presiden Perancis itu diberikan sambutan permaidani merah dan turut memeriksa barisan kawalan kehormat oleh Batalion Ke-6 Rejimen Renjer Diraja.
Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata Hollande dijadual menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dan mengadakan mesyuarat 2 hala dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Najib dan Hollande akan mengimbas semula hubungan 2 hala selain membincangkan peluang kerjasama dalam bidang-bidang lain, menurut kenyataan Wisma Putra.
Kedua-dua pemimpin juga dijadual menyaksikan majlis menandatangani beberapa perjanjian dan memorandum persefahaman untuk mempereratkan lagi kerjasama 2 hala dan ekonomi antara Malaysia dan Perancis.
Ini merupakan lawatan kedua oleh presiden Perancis ke Malaysia.
Presiden Jacques Chirac mengadakan lawatan negara ke Malaysia pada Julai 2003, lawatan yang disifatkan sebagai amat penting dalam memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Perancis.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Diharapkan lawatan Presiden Hollande akan memperkukuhkan lagi hubungan 2 hala baik yang sedia terjalin antara kedua-dua negara,” menurut Wisma Putra.