Jepun dan Jong Nam
Kisah Jong Nam diikuti rapat oleh warga Jepun. Bagi mereka, Korea Utara adalah ancaman kekal buat mereka yang berjiran dengan negara terasing itu.
TOKYO: Ramai di Malaysia mula mengikuti Korea Utara secara rapat selepas pembunuhan Kim Jong Nam.
Di Jepun, Korea Utara sudah lama menjadi punca kerisauan.
Memandangkan jarak antara 2 negara sangat dekat, setiap perlakuan negara “terasing” itu diperhati rapat, dan ujian senjata yang dilakukan mencetuskan kebimbangan kepada warga Jepun.
“Bagi kami, Korea Utara adalah ancaman yang kekal di sini,” kata seorang kakitangan agensi berkaitan tenaga nuklear negara itu yang enggan namanya didedahkan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada lawatan kerja delegasi Malaysia ke Jepun bagi Program Pemahaman Umum Tenaga Nuklear di Jepun baru-baru ini.
Katanya, walaupun kedudukan 2 negara jauh berbeza dari segi ekonomi, Korea Utara menimbulkan ancaman ekoran tindakannya yang “sukar diduga” dan tidak mengira hubungan antara negara lain.
“Mereka tiada sumber dan tenaga, tetapi kami tetap khuatir akan mereka. Apatah lagi selepas Kim Jong Un berkuasa, dia lebih ‘gila’ (berbanding bapanya Kim Jong Il),” katanya merujuk anak beranak yang memerintah Korea Utara.
Menurut tinjauan badan penyiaran Britain BBC, Jepun antara negara yang mempunyai pandangan paling negatif terhadap Korea Utara.
Kira-kira 91% responden warga Jepun memiliki pandangan negatif terhadap Korea Utara, sementara hanya 1% berpandangan positif.
Selain jarak yang dekat, warga Jepun juga sentiasa meminati perkembangan Korea Utara kerana kewujudan ramai pelarian negara itu di sana, kata jurutera Yasuhiro Akira.
Di peringkat kerajaan pula, Korea Utara tidak senang dengan hubungan Amerika Syarikat dengan Jepun, begitu juga dengan Korea Selatan, musuh ketatnya.
Hubungan antara 2 negara kian tegang selepas Korea Utara menjalankan ujian peluru berpandu yang mendarat di Laut Jepun, 10 Februari lalu.
Jepun dan Jong Nam
Memetik laporan CNN 13 Februari lalu, Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe menyifatkan ujian itu sebagai “keterlaluan”, manakala Ketua Setiausaha Kabinet Yoshihide Suga berkata “ia provokasi terang-terangan terhadap Jepun dan rantau itu”.
Justeru tidak hairan apabila pembunuhan Jong Nam di Malaysia pada bulan lalu menarik perhatian warga dan media negara itu.
Media Jepun antara yang paling banyak membuat liputan kes tersebut di Malaysia, selain media tempatan, Korea Selatan dan agensi berita antarabangsa.
“Kami semua bercakap tentangnya,” kata Yasuhiro.
Wartawan sebuah organisasi media utama Jepun, K Yama, berkata, Jong Nam mula dikenali di sana selepas ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Jepun, kerana cuba memasuki negara itu menggunakan pasport palsu.
Beliau menggunakan pasport palsu Republik Dominica, di bawah nama Pang Xiong dan memberikan alasan ingin berkunjung ke Taman Tema Disneyland di Tokyo.
Selepas itu, beliau mengadakan siri wawancara bersama akhbar Jepun, Tokyo Shimbun, sekitar 2010, yang mengkritik Korea Utara dan dinasti keluarganya.
“Sejak itu, warga Jepun mula mengenalinya dan pembunuhannya menjadi isu besar bagi kami,” katanya yang turut ke Kuala Lumpur untuk membuat liputan, awal bulan ini.
Pada 13 Februari lalu, di hari pembunuhannya, Jong Nam memasuki Malaysia menggunakan identiti “Kim Chol”.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Kematian abang tiri diktator Korea Utara itu mencetuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia. Polis Malaysia mendakwa suspek yang terlibat dalam pembunuhan itu dilindungi oleh pihak kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur.