Kerajaan pusat punca Splash tak setuju diambil alih, kata Azmin
Kerajaan pusat pada Mac 2017 mengarahkan semua perjanjian utama berkaitan penstrukturan semula industri bekalan air Selangor, KL dan Putrajaya dilanjutkan 6 bulan sehingga 5 Oktober 2017.
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) menerusi surat bertarikh 14 Mac 2017 mengarahkan semua perjanjian utama berkaitan penstrukturan semula industri bekalan air Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dilanjutkan 6 bulan sehingga 5 Oktober 2017.
Katanya, ini adalah tambahan kepada surat lanjutan pada Oktober 2016 kepada April 2017 bagi membolehkan pelantikan penilai bebas antarabangsa dan menilai pengambilalihan Splash.
“Sehingga hari ini, belum dimaklumkan secara bertulis berhubung pendirian jemaah menteri terhadap hasil dapatan penilai bebas antarabangsa yang dilantik kerajaan persekutuan,” katanya menjawab soalan Adun DAP-Bukit Gasing R Rajiv mengenai status pengambilalihan konsesi Splash.
Mengulas lanjut, Azmin yang juga adun Bukit Antarabangsa berkata, pihaknya juga terkejut apabila menerima surat KeTTHA pada 6 Mac lalu yang meminta kerajaan negeri mengemukakan pendirian berhubung kaedah pembiayaan pengambilalihan Splash.
“Iaitu 60% dibiayai kerajaan persekutuan dan 40% dibiayai kerajaan negeri. Keputusan KeTTHA ini tidak matang memandangkan kerajaan negeri belum terima pendirian rasmi jemaah menteri tentang dapatan penilai bebas antarabangsa yang dilantik persekutuan.”
Splash adalah syarikat konsesi terakhir yang belum bersetuju dengan tawaran Selangor.
Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB) menerima tawaran kerajaan Selangor untuk mengambil alih segala ekuiti, aset dan liabiliti 2 syarikat konsesi air miliknya – Puncak Niaga Sdn Bhd dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), masing-masing berjumlah RM2.47 bilion dan RM3.11 bilion pada Mei 2014.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Ia menyusul pemegang saham Konsortium Abass Sdn Bhd yang bersetuju dengan tawaran pengambilalihan ekuiti, aset dan liabiliti air pada harga RM900 juta.