RUU 355: BN politikkan Islam, kata Azmin
Timbalan presiden PKR itu berkata beliau tidak terkejut dengan keputusan BN untuk tidak membentangkan RUU 355 di Parlimen.
SHAH ALAM: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata tidak mengejutkan apabila BN memutuskan untuk tidak membentangkan rang undang-untang (RUU) pindaan Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 di Parlimen.
Timbalan presiden PKR itu berkata ini kerana BN mempolitikkan Islam dan beliau juga pernah mengingatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom supaya tidak mempolitikkan isu agama.
“Sepatutnya cadangan seperti ini perlu dibincangkan terlebih dulu. Jangan terlalu tergesa-gesa atas kepentingan politik sehingga memalukan Islam itu sendiri.
“Dan ternyata mereka bukan bersungguh-sungguh untuk membawa RUU ini, mereka hanya ingin melihat Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan berpecah. Daripada segi itu mungkin mereka berjaya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi bangunan Annex hari ini.
Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata BN akan membentangkan sendiri RUU 355 di sidang Parlimen kali ini.
Bagaimanapun, Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan BN memutuskan untuk tidak membentangkan RUU 355.
Azmin yang juga menteri besar Selangor turut mengingatkan Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan agar tidak terperangkap dengan agenda Umno dan BN.
“Kerana mereka mempolitikkan segala-galanya sehingga langsung tidak menghormati agama dan tidak ada konsensus serta perbincangan secara menyeluruh yang melibatkan tokoh dan sarjana Islam.
“Mereka mempermainkan. Ini saya rasa perkara yang amat malang,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai Selangor mencatat jumlah kes bankrap tertinggi di Malaysia sebanyak 70,817 kes sehingga Februari lalu, Azmin berkata angka berkenaan tidak memberikan gambaran sebenar status kebankrapan itu.
“Status kebankrapan itu harus dilihat. Kadang-kadang seseorang itu sebagai seorang penjamin. Tak semestinya dia seorang pemiutang yang mendapat hutang.
“Namun saya kira dalam situasi ekonomi hari ini sudah tentu banyak pihak yang terkesan dengan nilai ringgit merudum dan memberikan kesan kepada perniagaan mereka.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Di Selangor yang kita bincangkan bukan saja soal ekonomi tetapi juga kepedulian rakyat itu macam mana kita nak dapat memartabatkan peniaga-peniaga. Sebagai contoh program Hijrah sudah kita laksanakan dan berjaya,” katanya.