Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Pengerusi EAIC terkilan pegawai awam cuai boleh naik pangkat

 | April 2, 2017

Datuk Yaacob Md Sam menyarankan pihak berkuasa kenaikan pangkat mengambil langkah yang lebih tegas bagi menghadapi masalah ketirisan disiplin dan rasuah yang serius.

Datuk-Yaacob-Md-SamPETALING JAYA: Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Datuk Yaacob Md Sam mahu perkhidmatan awam melaksanakan pendekatan lebih tegas dengan tidak memberi kenaikan pangkat kepada pegawai-pegawai yang gagal dan cuai dalam tugas mereka.

Dalam nada terkilan, Yaacob berkata, beliau belum pernah melihat peruntukan sedia ada diguna pakai dalam mendisiplinkan pegawai-pegawai yang cuai.

“Pegawai yang gagal menjalankan tugasnya disifatkan sebagai cuai dalam melaksanakan tugasnya dan tidak bertanggungjawab dan dengan itu dia boleh dikenakan tindakan tatatertib.

“Bagaimanapun, saya belum pernah melihat peruntukan ini diguna pakai dalam mendisiplinkan pegawai tersebut.”

Sebaliknya menurut beliau, terdapat pegawai yang sepatutnya telah disifatkan sebagai cuai dan tidak bertanggungjawab tetapi mendapat kenaikan pangkat atau jawatan yang lebih kanan.

“Saya ingin menyarankan supaya pihak berkuasa kenaikan pangkat mengambil langkah yang lebih tegas bagi mana-mana pegawai atasan atau ketua jabatan yang didapati jabatan atau pegawai-pegawai di bawahnya menghadapi masalah ketirisan disiplin dan rasuah yang serius.”

Beliau tidak memberi rujukan khusus mengenai elemen cuai, tetapi Laporan Ketua Audit Negara kebelakangan ini secara tidak langsung mendedahkan perbuatan cuai sehingga menyebabkan ketirisan wang kerajaan dan jenayah rasuah.

Dalam temu bual bersama Mingguan Malaysia yang disiarkan hari ini, Yaacob yang juga seorang hakim Mahkamah Tinggi berkata, pegawai-pegawai cuai perlu dilarang daripada layak untuk dipertimbangkan bagi kenaikan pangkat kepada gred yang lebih tinggi untuk satu jangka masa tertentu, contohnya 3 tahun.

Kaedah ini kata beliau, akan membangkitkan kesedaran pegawai dan ketua jabatan terhadap peranannya seperti yang dituntut oleh Peraturan 3C tersebut.

Katanya, Bahagian IB Tugas Kawalan dan Pengawasan Tatatertib, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 (Pindaan 2002), perlakuan aktiviti bersifat rasuah dan salah laku oleh pegawai penguat kuasa akan dapat dikawal dengan efektif ke arah pembasmiannya atau sekurang-kurangnya dikurangkan.

Malah kata beliau, Peraturan 3C mewajibkan, menjadi tugas tiap-tiap pegawai untuk menjalankan kawalan dan pengawasan tatatertib ke atas pegawai bawahannya dan mengambil tindakan sesuai dengan seberapa segera bagi apa-apa pelanggaran mana-mana peruntukan peraturan-peraturan tersebut.

Menurut beliau, EAIC secara berterusan menekankan betapa pentingnya peranan dan tanggungjawab yang dituntut dimainkan secara efektif oleh ketua-ketua jabatan atau pegawai kanan di agensi penguatkuasaan.

 


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments