Hilang tanpa khabar, nasib Amri seperti Pastor Koh
Ada yang mengaitkan kehilangannya dengan dakwaan menyebarkan Syiah, dan modus operandi penculikan sama seperti apa yang berlaku terhadap Pastor Koh.
Aktivis yang bertapak di Perlis, Amri Che Mat, 43, sudah hilang 4 bulan, dan antara spekulasi di sebalik penculikan itu ialah beliau menyebarkan mazhab Syiah.
“Orang becakap tentang beliau dan Syiah, walaupun saya sendiri tidak nampak ada gerakan penyebaran di bawah beliau,” kata jurucakap keluarganya, Mohammad Faisol Abd Rahman kepada FMT.
“Tetapi kalau benar sekalipun beliau seorang Syiah, bukan sampai begini hukumannya. Negara kita ada undang-undang. Jika ada yang tidak puas hati, buat laporan kepada pihak berkuasa,” katanya.
Amri tidak pulang ke rumahnya di Kangar pada 25 November lalu. Setakat ini, 2 laporan polis dibuat oleh isterinya, Norhayati Mohd Ariffin bertarikh 25 November dan 8 Disember 2016.
Laporan media menyatakan pacuan 4 roda Toyota Fortuner ditemui pada hari kehilangannya di Bukit Chabang, Perlis, dengan cermin kiri, kanan dan belakang pecah.
Norhayati sebelum ini berkata, saksi melihat 5 kereta menghalang laluan kereta Amri sebelum menculiknya.
Faisol berkata apa yang berlaku ke atas Amri tidak berbeza daripada nasib yang menimpa Pastor Koh pada 13 Februari lalu.
“Modus operandinya sama dengan beberapa buah kereta mengekori dan menghalang mereka, dan kereta lain serta motosikal juga mengekori di belakang dalam 2 penculikan itu.
“Pastor Koh dituduh menyebarkan Kristian. Ada pula cakap-cakap mengatakan Amri menyebarkan Syiah. Kedua-duanya berkaitan agama,” katanya.
Tetapi penculikan Koh membuka mata Faisol yang mula mengesyaki kes Amri bukanlah penculikan biasa.
“Ini bukan kerana wang. Seperti ada sesuatu di belakangnya, mungkin pihak ‘bawah tanah’,” katanya.
“Setakat ini polis berkata masih belum menjumpai apa-apa petunjuk. Takkan kereta (penculik Amri) tidak berhenti sekali pun di stesen minyak, dan dirakam CCTV?” soalnya yang kecewa dengan penyiasatan yang dilihat tidak bersungguh-sungguh.
Suaram anjur solidariti
Sebelum ini, kes Pastor Koh juga mengundang kritikan terhadap polis.
Bulan lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis menemui jalan buntu berhubung kes tersebut, dan menuduh pihak media merumitkan usaha polis menjejak penjenayah yang terlibat.
Faisol berkata keluarga Amri kini dalam kesedihan dan buntu dalam mencari Amri.
“Ibu Amri sering bertanya adakah beliau masih hidup. Ketika ke rumah baru-baru ini, saya lihat beliau memegang gambar Amri,” katanya.
Malam ini, badan hak asasi manusia Suara Rakyat Malaysia (Suaram) akan mengadakan vigil solidariti bagi Koh, Amri dan 2 lagi individu yang hilang iaitu pasangan paderi Joshua Hilmy dan isterinya, di Dataran Merdeka.
Suaram mendesak polis mengutamakan siasatan terhadap 3 kes tersebut dan memastikan ia bukannya didalangi mana-mana pihak berkuasa negara.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Kami ingin mengingatkan Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan menjamin hak untuk hidup dan kebebasan diri kepada semua orang, dan Perkara 9 (2) menjamin hak rakyat bergerak bebas. Perkara 11 (1) pula menyatakan semua orang mempunyai hak untuk mengamalkan agama dan tertakluk kepada Fasal (4) berhak mengembangkannya,” kata kenyataan itu.