Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Ini kereta dimiliki ahli politik pembangkang…

 | April 19, 2017

FMT senaraikan kereta yang dipakai beberapa pemimpin kanan di kalangan ahli politik Amanah, PAS, PKR dan DAP.

honda

PETALING JAYA: Kebelakangan ini, cara hidup ahli politik semakin mendapat perhatian ramai, di sebalik usaha agresif Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membongkar pegawai dan pemimpin kerajaan yang memiliki harta luar biasa.

Mac lalu, SPRM menyita lebih 20 kenderaan mewah dan motosikal berkuasa besar ketika menahan Exco Johor, Datuk Abdul Latif Bandi, yang didakwa di mahkamah atas 33 pertuduhan membabitkan suapan bernilai RM30 juta.

Media juga melaporkan Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Khairuddin Aman Razali yang mempertahankan dirinya selepas dikritik kerana menghadiahkan kereta Audi Q7, yang mempunyai harga pasaran sekurang-kurangnya RM500,000, kepada isterinya.

Minggu lalu, Ketua Pemuda PKR, Datuk Adam Rosly ditahan SPRM dalam siasatan ke atas kekayaan miliknya, yang termasuk kereta mewah di samping sebuah banglo di Ampang.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Sungai Siput dari Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr Michael Jeyakumar Devaraj terkenal dengan gaya hidup sederhana.

Ketika mengisytiharkan hartanya sebelum ini, didapati beliau memiliki 4 buah kereta lama yang semuanya mempunyai harga pasaran antara RM300 hingga RM15,000. Ia termasuk Nissan Sentra (model tahun 2000) bernilai RM15,000, Volvo (1988) bernilai RM10,000, Pajero (1996) yang dihadiahkan oleh kawan bernilai RM6,000, dan Mazda (1986) yang digunakan PSM cawangan Buntong bernilai hanya RM300.

Hari ini, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad mendakwa pemimpin PAS kini memiliki kereta mewah, dan membandingkannya dengan akar umbi parti itu yang terpaksa bersusah payah menguruskan cawangan parti.

FMT menghubungi beberapa ahli politik terkemuka mewakili pelbagai parti, untuk mengetahui jenis kenderaan yang dimiliki mereka.

Datuk Ahmad Yakob, Menteri Besar Kelantan dan Timbalan Mursyidul Am PAS: Memiliki satu kereta iaitu Mercedes (tidak diperinci) dan satu motosikal Yamaha Lagenda 110.

Anthony Loke, Ahli Parlimen Seremban dan Setiausaha Organisasi DAP: Saya hanya pakai sebuah Nissan X-Trail sahaja.

Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam: Saya ada 2 kereta iaitu Mercedes-Benz S320 digunakan selama 9 tahun sejak 2009 selepas saya menjadi ahli Parlimen, dan Land Rover Discovery yang digunakan 10 tahun.

M Kulasegaran, Ahli Parlimen Ipoh Barat dan Naib Pengerusi DAP: Saya menggunakan Honda CR-V dan pick-up Hilux. Saya menggunakannya kerana selesa misalnya untuk perjalanan jauh. Isteri saya menggunakan Toyota Prius, didaftar atas nama saya.

Mohamad Sabu, Presiden Amanah: Saya tidak ada kereta atas nama saya sekarang. Di rumah, ada kereta Toyota Wish dan Myvi, kedua-dua atas nama isteri. Penggal ke-3 sebagai ahli Parlimen dulu, saya pakai Honda CRV.

Muhammad Sanusi Md Nor, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat: Nissan X-Trail (2007).

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, Ahli Parlimen Pasir Mas dan Ketua Pemuda PAS: Memiliki 2 kereta, Proton Savvy dan Toyota Estima.

Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Pandan dan Naib Presiden PKR: Setakat 30 November 2016, menurut pengisytiharan harta, beliau menggunakan Honda Accord (2014), manakala 2 lagi kereta di bawah namanya adalah Honda CR-V (2014) yang disewakan kepada pekerja, dan Honda Civic (1997) yang disewa-beli kepada seorang lagi pekerja dengan bayaran RM600 sebulan.

Salahuddin Ayub, Timbalan Presiden Amanah: Buat masa ini saya ada kereta Volvo atas nama saya. Telah guna kereta ini sejak 2015.

Steven Sim, Ahli Parlimen Bukit Mertajam: Keluarga kami menggunakan Kia Picanto yang didaftar atas nama isteri saya, yang dibeli kira-kira 6 tahun lalu. Selain itu saya menggunakan Kia Citra yang dibeli ketika mula bekerja 10 tahun lalu. Ketika itu dibeli atas nama bapa.

Tian Chua, Ahli Parlimen Batu dan Naib Presiden PKR: Saya menggunakan Nissan Teana. Saya pernah beli kereta terpakai Mercedes E-class W210 lama dulu, dan kini tersadai di bengkel kerana rosak teruk. Kalau nak jual pun sudah tiada nilai.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments