Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Sarawak bersatu tidak mahukan Zakir Naik

 | April 19, 2017

Kerajaan dan pembangkang Sarawak tidak mahukan pelampau agama seperti Zakir menjejakkan kaki di negeri mereka

James-Jemut-zakirnaikKUCHING: Pemimpin kerajaan dan pembangkang Sarawak sepakat tidak mahu penceramah kontroversi Zakir Naik, yang dikehendaki pihak berkuasa India untuk siasatan pengubahan wang, di negeri mereka yang berbilang agama.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Jemut Masing berkata status penduduk tepat yang diberikan kerajaan persekutuan kepada Zakir 5 tahun lalu tidak menghalang Sarawak menyekat kemasukannya.

“Status PR tidak memberikan kekebalan kepada Zakir daripada dilarang masuk sebagai ‘orang yang tidak diingini’. Kami pernah menyekat wakil rakyat tempatan sebelum ini,” katanya.

Secara rasmi Zakir belum dilarang memasuki Sarawak, yang memiliki kuasa autonomi dalam urusan imigresen.

Sarawak mempunyai demografik unik, di mana orang Kristian membentuk majoriti manakala orang Islam kurang daripada suku jumlah penduduk.

Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera (PBB) Datuk Idris Buang berkata “keadaan politik” di negerinya tidak mengalu-alukan Zakir.

“Secara peribadi, dia salah seorang sarjana Islam terbaik. Bagi kebanyakan orang Islam, dia menjalankan tugas menjelaskan ajaran Islam dengan baik. Dia menyeru kepada kedamaian.

“Bagaimanapun, dia akan disalah faham di Sarawak. Jadi saya nasihatkan dia supaya tidak datang ke Sarawak,” kata Idris.

Sementara itu, Adun Batu Kitang Lo Khere Chiang daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) berkata menyekat kemasukan individu yang boleh menjejaskan keamanan negeri adalah demi kepentingan Sarawak.

“Kami rakyat Sarawak sentiasa mengingati pesanan Tok Nan (bekas ketua menteri Tan Sri Adenan Satem): ‘Tidak mahu pelampau dan fanatik agama!’,” kata Khere.

“Dia mungkin ada status PR tapi Sarawak tidak mengalu-alukan pelampau politik atau agama, seperti Zakir, menjejakkan kaki di sini.”

Sementara itu, pengerusi PKR negeri Baru Bian berkata Zakir sepatutnya tidak hanya dilarang dari memasuki Sarawak, tetapi dihantar pulang atau didakwa pihak berkuasa.

“Apa kewajaran melindungi seseorang yang dikehendaki di tempat lain? Tak cukup dengan itu, kita beri dia status PR.

“Dia mewujudkan keadaan tidak harmoni, membuat kenyataan sensitif yang menjejaskan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Itu sudah memadai untuk menghantar dia pulang atau mendakwanya.

“Orang seperti itu tidak patut dibenarkan tinggal di Malaysia.

“Kalau mereka bersungguh mahu wujudkan suasana harmoni, dia perlu dihantar pulang ke India.

“Pemimpin kita perlu jadikan Zakir sebagai contoh. Kalau tidak, mereka cakap tidak serupa bikin,” kata Baru.

Status PR Zakir disahkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam.

Pada 15 April, Direktorat Penguatkuasaan (ED) India memfailkan kertas pendakwaan terhadap syarikat Zakir, Harmony Media Ltd dan rakannya, Aamir Gazdar, dalam siasatan ke atas pengubahan wang.

Agensi Siasatan Kebangsaan (NIA) India juga dilaporkan memohon notis merah Interpol untuk membawa Zakir pulang ke India untuk disoal siasat.

Zakir Naik dapat status PR sebelum saya di KDN, kata Zahid

DAP: Jelaskan kriteria Zakir Naik diberi PR


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments