Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

‘Selagi nyawa dikandung jasad’, Najib ikrar pertahan Bumiputera

 | April 19, 2017

PM melancarkan agenda Transformasi Kesejahteraan Bumiputera (TKB) yang merupakan kesinambungan kepada Halatuju Transformasi Ekonomi Bumiputera 1.0.

najib-bumiputraKUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan akan terus memperjuangkan agenda bumiputera “selagi nyawa dikandung jasad”.

Beliau hari ini melancarkan agenda Transformasi Kesejahteraan Bumiputera (TKB) yang merupakan kesinambungan kepada Halatuju Transformasi Ekonomi Bumiputera 1.0.

HTEB 1.0 merupakan inisiatif di bawah Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) yang berjalan sejak 2012-2017 bagi meningkatkan penyertaan golongan Bumiputera dalam ekonomi negara.

“Selepas Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dimulakan ayahanda saya (Tun Abdul Razak), perjuangan saya demi kesejahteraan Bumiputera bukan sekadar kedudukan selaku pemimpin, tetapi datang dari leluhur saya yang ikhlas dan jujur.

“Kepada orang Melayu dan Bumiputera Islam dan bukan Islam yang menginduki negara ini, usahlah gundah dan bimbang.

“Selagi nyawa dikandung jasad, agenda TKB ini akan ‘tetap kita perjuangkan sampai bila-bila,” katanya.

Pelancaran diadakan sempena Pameran “Memacu Agenda Bumiputera 2017” di Pusat Persidangan Kuala Lumpur (KLCC) dan turut dihadiri kebanyakan anggota jemaah menteri, termasuk Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ia disaksikan 1,500 hadirin yang terdiri daripada penerima langsung program kerajaan.

Menerusi TKB, kata Najib, agenda Bumiputera tidak lagi tertumpu kepada aspek ekonomi, tetapi juga pendidikan, persekitaran yang selesa serta sosio-budaya.

“Apa yang saya mahukan ialah transformasi yang bersifat inklusif dan holistik,” katanya.

TKB menggariskan 5 transformasi utama, iaitu melonjakkan skala syarikat Bumiputera, memperkasakan modal insan, meningkatkan daya saing, memberdaya mobiliti sosial dan transformasi secara tuntas dan holistik.

Katanya, inisiatif ini menunjukkan semangat DEB terus hidup dan dasarnya dilaksanakan sehingga kini.

“Hak-hak keistimewaan oran Melayu dan Bumiputera mesti dipertahan sampai bila-bila…bahkan kekal menjadi agenda nasional,” katanya.

Namun katanya, ia tidak bermakna kerajaan mengambil hak kaum lain.

“Kerajaan sentiasa beringat dalam memperjuangkan agenda Bumiputera. Ia bukan bermakna kita sewenangnya mengambil hak orang lain. Secara beriring, kerajaan wajib menjaga kepentingan sah kaum-kaum yang ada di negara ini,” katanya.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments