Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Petani Cameron anjur protes duduk bantah di pejabat MB Pahang

 | April 20, 2017

Kerajaan Pahang lebih mengutamakan kehendak syarikat swasta berbanding rakyat di kawasan berkenaan, kata mereka.

VIDEO INSIDE

Adnan-YaakubKUALA LUMPUR: Sekumpulan petani kecil merancang mengadakan protes duduk dan bantah di luar pejabat Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob bulan depan, selepas mendakwa dipinggirkan dan dibuli kerajaan negeri dalam usaha mendapatkan hak milik tanah kekal di Cameron Highlands.

“Cukuplah sudah ratusan surat menyurat, puluhan memorandum dan perbincangan dalam tempoh 10 tahun lepas dilakukan. Tiba masanya kami mengadakan protes duduk dan bantah di Wisma Sri Pahang pada 23 Mei depan,” kata Setiausaha Jawatankuasa Tanah, Rumah dan Gerai (JTGR) Parti Sosialis Malaysia (PSM), Suresh Balasubramaniam.

Suresh berkata, sehingga kini kerajaan Pahang gagal menyelesaikan masalah pemilikan tanah kecil melibatkan lebih daripada 1,000 penduduk dan golongan petani.

Menurutnya, kerajaan negeri melayan kumpulan itu seperti zaman feudal.

“Sudah 60 tahun Malaysia merdeka tetapi isu pemilikan tanah di Cameron Highlands dilayan oleh kerajaan Pahang seperti zaman feudal malah lebih daripada 1,000 yang belum dapat tanah nak milik kekal termasuk petani, kawasan penempatan dan kawasan tapak perniagaan.”

Menurut Suresh, PSM sudah memperjuangkan isu ini sejak 2008.

“Pelbagai janji manis telah diberikan oleh Adnan, malah masa protes dan insiden kejadian penangkapan di hadapan Wisma Sri Pahang pada 10 Julai 2012, menteri besar mengatakan semua masalah pemilikan tanah akan diselesaikan dalam masa 6 bulan.

“Namun selepas itu hanya 1 kes sahaja diselesaikan,” katanya kepada media di pejabat PSM.

Suresh berkata selain isu pemilikan tanah kekal, lebih 500 Lesen Pendudukan Sementara (LPS) petani kecil melibatkan kawasan Ringlet dan Lembah Bertam tidak diperbaharui sejak 2015.

“Bukankah petani-petani ini dipaksa hidup dibawah belas kasihan kerajaan Pahang dan Adnan Yaakob?” soalnya.

PSM turut mendakwa kerajaan Pahang lebih mengutamakan syarikat swasta untuk memajukan kawasan pertanian berbanding penduduk dan petani asal kawasan terbabit.

“Apabila syarikat swasta memerlukan tanah, kerajaan Pahang boleh mewartakan keluar 33 hektar dari Hutan Simpan Kekal Hulu Bertam, kerajaan Pahang boleh menjual kem Askar Brinchang apabila kawasan berkenaan diperlukan syarikat swasta untuk projek komersil,” katanya.

Sehubungan itu, PSM bersama petani dan penduduk kawasan Cameron Highlands akan mengadakan bantahan dan menyerahkan memorandum sekali lagi di hadapan pejabat Adnan pada 23 Mei ini.

Katanya, pihaknya juga tidak menolak akan membawa kes tersebut kepada pihak mahkamah sebagai jalan terakhir.

“Kami ada bincang dengan peguam kami tapi belum ada keputusan konkrit, tapi kami percaya aksi rakyat melalui bantahan sebegini ia lebih konkrit dan dapat beri tekanan kepada kerajaan,” katanya.

 

 


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments