Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

PKR: Tindakan disiplin menanti Adam Rosly jika bersalah

 | April 21, 2017

Tian Chua berkata, PKR tidak akan mengambil tindakan melulu kerana bukti dikemukakan kepada mahkamah masih kabur dan mendakwa ada segelintir pihak sengaja menyasarkan Adam Rosly.

Tian-Chua-adam-roslyPETALING JAYA: PKR akan mengambil tindakan disiplin terhadap Ketua Pemuda Ampang, Datuk Adam Rosly, jika mahkamah mendapati beliau bersalah atas 6 pertuduhan berkaitan keterangan palsu.

Bagaimanapun, Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata, parti itu tidak akan mengambil tindakan melulu memandangkan bukti yang dikemukakan kepada mahkamah masih kabur dan beliau mendakwa ada segelintir pihak sengaja menyasarkan Adam.

“Kita tengok dulu bukti yang akan dikeluarkan pihak mahkamah nanti, sebab sekarang ini ia agak kabur dan kalau benar beliau melakukan kesalahan, kita tidak akan bertolak ansur.

“Setakat ini, kita nampak tindakan ini seolah-olah disasarkan pihak tertentu kerana Adam bersama pembangkang,” katanya kepada FMT hari ini.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail pula enggan memberi sebarang komen berkaitan Adam dengan alasan belum melihat perkembangan di mahkamah.

Terdahulu, Adam didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 6 pertuduhan berkaitan keterangan palsu, selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan banglo miliknya sudah disita semalam.

Beliau didakwa di bawah Seksyen 32(8)(c) dan Seksyen 89 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla) yang membawa hukuman denda sehingga RM3 juta dan penjara tidak melebihi 5 tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Ketua Pemuda PKR, Dr Afif Bahardin bagaimanapun mempertahankan tindakan Adam dan mahu SPRM berlaku adil dalam siasatan ke atas pemuda berusia 29 tahun itu.

“Kes ini masih dibicarakan dan kita akan tunggu apa keputusan mahkamah. Pastinya prinsip AMK (Angkatan Muda Keadilan) tidak berubah, kita menolak sebarang bentuk rasuah dan penyelewengan.

“Kita juga mahu pihak SPRM bersikap jujur dan tidak pilih bulu dalam melaksanakan undang-undang negara, terutama berkaitan rasuah dan penyelewengan. Isu 1MDB, Scorpene, Felda, Tabung Haji sehingga hari ini masih tidak dibawa ke muka pengadilan,” katanya ketika dihubungi.

Dalam perkembangan sama, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin yang juga ahli Parlimen Ampang menafikan Adam pernah berkhidmat dengannya.

Adam ditahan ketika hadir di ibu pejabat SPRM pada 13 April lalu bagi memberi keterangan berhubung siasatan kekayaan luar biasa yang dimilikinya. Tempoh reman Adam dilanjutkan 4 hari lagi bermula Rabu lalu.

Kekayaan Adam menjadi perhatian selepas Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos mempertikaikan rumah besar dan kereta mewah yang dimilikinya, walaupun baru sepenggal memegang jawatan dalam PKR.

November lalu, Jamal membawa wartawan menaiki helikopter meninjau banglo milik Adam, sambil mempersoalkan sumber kekayaan pemimpin Pemuda PKR itu yang disusuli Ketua Umno Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo membuat laporan SPRM terhadap Adam.

Adam Rosly didakwa atas tuduhan beri keterangan palsu

‘Ah Long, nenek, ibu mertua’ bantu Adam beli banglo


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments